Kelantan rintis program pengurusan rumah tangga di sekolah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merintis usaha menyediakan anak-anak muda kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan rumah tangga.

- Advertisement -

Usaha terbaharu dilakukan dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK) mewujudkan rumah Baitu Solehah di sekolah agama.

Ia bagi memberi pendedahan mengenai pengurusan komtemporari rumahtangga dan kekeluargaan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato Mumtaz Md Nawi berkata, Baitu Solehah sebagai tempat praktikal untuk melahirkan sebuah keluarga yang baik seperti yang terkandung dalam buku Suri Mithali.

Katanya, rumah tersebut sebagai pusat bagi mendedahkan pelajar mengenai erti kehidupan sebuah keluarga.

“Sayyidatina Fatimah r.a adalah ikon pengurus rumahtangga. Suri rumah merupakan seorang permaisuri yang menumpu perhatian kepada pendidikan putera puterinya.

“Maka, bermula di Baitu Solehah, kita mahu melahirkan suri mithali yang bukan sahaja cerdik dan bijak tetapi juga hebat agama, akhlak dan dikasihi keluarga.

“Di sini, mereka akan belajar mengurus rumahtangga seperti mengemas rumah, memasak dan memberi khidmat terbaik kepada keluarga mereka,” katanya selepas merasmikan rumah Baitus Solehah dan pelancaran buku Suri Mithali di Maahad Muhammad Perempuan di sini. (Foto atas)

Hadir sama Adun Tanjung Mas Rohani Ibrahim; Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Ilvira Mohd Dasuki dan Timbalan Pengarah Kenaziran YIK, Sukeri Hussin.

Menurutnya juga kerajaan negeri berusaha memperluas kefahaman sekolah bukan semata-mata tempat untuk menekuni ilmu dan menduduki peperiksaan, sebaliknya mendedah pengalaman membina keluarga mithali.

“Ini bukan tambahan silibus pendidikan yang sedia ada, sebaliknya sebagai nilai tambah bagi membina kemahiran dan pendidikan di luar bilik darjah,” ujarnya.

Mumtaz juga berkata, rumah tersebut dibina membabitkan kos kira-kira RM100,000 seluas 1,000 kaki persegi.

Menurutnya juga pelajar akan diberi pendedahan berkaitan program dapur hijau, menghias rumah, jahitan, gubahan bunga serta penyediaan makanan pada hari Jumaat atau Sabtu.

“Sebagai langkah pertama Maahad Muhammadi Perempuan menjadi institusi pendidikan pertama yang menerima manfaat program tersebut.

“Selepas ini kita berharap Maahad Muhammadi Lelaki dan sekolah-sekolah lain juga akan dibina premis latihan seperti ini, insya-Allah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 1/2/2023

- Advertisement -