Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA

Datuk Hamidin Mohd Amin
- Advertisement -

MANAMA (Bahrain): Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027, pada Kongres AFC ke-33, di Pusat Konvensyen Gulf di sini hari ini.

- Advertisement -

Hamidin, yang sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, menerima 30 undian.

Beliau merupakan antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia.

Sementara itu, calon lain yang terpilih adalah Sheikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani dari Qatar yang menerima 40 undi, Kohzo Tashima dari Jepun (39), Mariano Areneta Jr. dari Filipina (34) dan wakil Arab Saudi Yasser H. Almisehal (35).

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis FIFA dari 2015 hingga 2019 manakala Tan Sri Hamzah Abu Samah menyandang jawatan naib presiden FIFA selama lapan tahun iaitu daripada 1982 hingga 1990.

Dalam pada itu, Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengekalkan jawatan tertinggi berkenaan tanpa bertanding bagi tempoh empat tahun lagi.

Presiden FIFA Gianni Infantino, dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada Shaikh Salman dan badan induk bola sepak Asia itu atas usaha pembangunan yang dijalankan.

Beliau turut memuji Qatar atas kejayaan menganjurkan Piala Dunia 2022, yang menyaksikan enam negara Asia bertanding dan untuk pertama kali, tiga pasukan Asia – Australia, Jepun dan Korea Selatan – mara ke pusingan 16 terbaik.

Keputusan Kongres AFC ke-33:

Presiden AFC dan Naib Presiden FIFA: Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa (Bahrain)
Naib Presiden AFC:

1. Zon Barat: Hachem Haidar (Lebanon)
2. Zon Tengah: Mehdi Taj (Iran)
3. Zon Selatan: Ugen Tsechup (Bhutan)
4. Zon ASEAN: Zaw Zaw (Myanmar)
5. Zon Timur: Ganbaatar Amgalanbaatar (Mongolia)

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita AFC:

1. Zon Barat: Susan Riyad Abdelrahim Alshalabi (Palestine)
2. Zon Tengah: Tiada
3. Zon Selatan: Mahfuza Akhter (Bangladesh)
4. Zon ASEAN: Kanya Keomany (Laos)
5. Zon Timur: Han Un Gyong (North Korea)

Ahli Majlis FIFA:

1. Kohzo Tashima (Jepun)
2. DATUK HAMIDIN MOHD AMIN (MALAYSIA)
3. Mariano Araneta, Jr. (Filipina)
4. Sheikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani (Qatar)
5. Yasser H. Almisehal (Arab Saudi)
6. Kanya Keomany (Laos)

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Lelaki AFC:

1. Zon Barat: Abdullah Ahmed Alshaheen Alrabeea (Kuwait) & Abdullah Nasser Aljneibi (Emiriah Arab Bersatu)
2. Zon Tengah: Irmatov Ravshan (Uzbekistan)
3. Zon Selatan: Bassam Adeel Jaleel (Maldives) & Pankaj Bikram Nembang (Nepal)
4. Zon ASEAN: Chris Nikou (Australia) & Jen. Polis Somyot Poompanmoung (Thailand)
5. Zon Timur: Fok, Kai Shan Eric (Hong Kong)

(Pemilihan untuk jawatan kosong akan diadakan kemudian) – BERNAMA

- Advertisement -