Banyak kisah ‘terduduk’ era kerajaan PH-BN

- Advertisement -

MINGGU lepas ramai asyik pamer gambar kerusi. Ada foto kerusi, ada juga foto orang duduk di atas kerusi. Tidak kurang juga yang bersila di atas lantai.

- Advertisement -

Maksud mereka menggambarkan sebagai duduk atau terduduk. Kalau ambil kira sesuatu perlawanan terduduk maknanya tidak menang. Ada juga peribahasa Melayu sebut perkataan jatuh terduduk. Ia dimaksudkan gagal dan sukar dipulihkan.

Pelik juga. Siapa sebenarnya yang terduduk. Rupa-rupanya pada 24 Disember lepas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mencabar pemimpin Perikatan Nasional (PN). Mereka pertikai kenyataan Rafizi berhubung penawaran dan permintaan barangan.

“PN akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi setelah langkah pemulihan difahami seluruh rakyat,” kata pakar ekonomi PKR terbabit. Lalu disebutnya usaha dilakukan kerajaan untuk menyuntik keanjalan dalam permintaan sebagai mekanisme kawalan harga.

Hari ini dah 1 Februari, maknanya sudah lebih sebulan. Makcik Kiah jenuh keliling pasar pagi tadi cari harga yang disebut menteri. Tidak jumpa-jumpa.

Bukan sahaja Makcik Kiah yang terkejut, sebaliknya Menteri Besar Perlis pun pelik. Katanya ketika dia pergi ke pasar, tiada pula harga bahan mentah turun.

Tambah geger lagi apabila ada NGO pengguna minta menteri turun padang sebelum keluarkan sebarang kenyataan. Jangan pula buat kenyataan ikut sedap rasa.

Maka kata netizen, menteri terduduk dengan isu tersebut. Kata orang tua-tua, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Apa makna semuanya itu.

Ketua Pemuda PAS Kedah Nurul Amin turut melihat kecelaruan pentadbiran PH-BN mengurus ekonomi negara sehingga menjadi bualan anak muda. Antara isu yang menjadi sebutan ramai bekalan telur dan harga makanan mahal di kedai.

Katanya lebih mengejutkan lagi sehingga trending isu ‘Duduk Rafizi’ menjadi troll anak-anak muda.

“Malah gambar Menteri Besar Kedah duduk atas kerusi pun mendapat lebih 31,600 tanda suka dan dikongsi 613 minggu lepas,” ujarnya.

Menteri juga seperti amarah terhadap peniaga restoran. Katanya peniaga mesti turunkan harga makanan kerana bahan mentah sudah turun.

Hebat sekali menteri kita era PH-BN. Ramai masih ingat masa belajar subjek ekonomi ketika tingkatan enam. Ada cikgu sebut teori penawaran dan permintaan.

Apabila permintaan bertambah, barangan kurang, kesannya menyebabkan harga meningkat. Itu asas ekonomi. Namun, apabila menteri menyebut harga barangan turun, sedangkan di pasaran tidak berlaku begitu, maka segala jenis netizen terkejut.

Teori yang pernah diutara Rafizi empat kementerian sedang bekerjasama merangka strategi luar biasa berkenaan isu kos sara hidup.

Hari ini ada akhbar melaporkan harga rumah mampu milik naik sehingga 25 peratus. Faktornya peningkatan permintaan dan kos binaan mahal. Harga rumah mampu milik sebelum ini RM42,000 kini naik kepada RM50,000.

Maka tidak hairanlah ada lidah pengarang akhbar menyifatkan Rafizi lebih sesuai berada di saf pembangkang. Sekadar mengutarakan aneka teori yang tidak berpijak di bumi.

Nasib malang

Dalam usia lebih dua bulan kerajaan PH-BN, nampaknya nasib dirundung malang. Sebelum viral isu terduduk, ada menteri dedah aset pertahan negara kepada umum.

Kata menteri seperti dilapor media, banyak aset pertahanan ketinggalan berbanding negara jiran. Ekoran itu veteran tentera menegur sikap menteri terbabit.

“Apa sebab mendedahkan soal aset pertahanan negara kepada umum,” kata pejuang veteran. Nampaknya menteri keliru antara strategi dan populariti.

Sikap tersebut mengundang bahaya. Sedangkan pihak musuh siang malam mengintip kita. Kenyataan menteri dedah aset pertahanan negara ketinggalan zaman, jarang kita dengar era sebelum ini.

Dalam tempoh tiga sampai tiga bulan nasib malang kerajaan PH-BN bertimpa-timpa. Sehari dua ini geger pula perdana menteri melantik anak sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan. Hebatkan.

Kalau kita masih ingat 20 tahun berlalu ada menantu dilantik di Pejabat menteri. Khairy Jamaluddin pernah dilantik sebagai pegawai khas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Kemudian pada tahun 2003-2004 Khairy dilantik Timbalan Ketua Setiausaha Swasta di pejabat bapa mertua, Pak Lah. Malangnya kisah serupa hari ini berulang lagi.

Namun kali ini anak sendiri pula dibawa ke pejabat menteri. Biarpun berkali-kali perdana menteri mengulangi anaknya tidak dibayar gaji, namun memulih imej yang sudah pudar semakin sukar.

Kata pemimpin PKR Johor, Hassan Karim tindakan itu menyalahi aspek moral. Prof Nik Ahmad Kamil Nik Mahmood pun bimbang kerana isu nepotisme. Dan ia tidak berbangkit soal tidak diberi upah.

“Kalau tidak diberi upah, anak nak makan apa,” tanya Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor. – HARAKAHDAILY 1/2/2023

- Advertisement -