Ada pihak mahu raih kepentingan kerajaan campuran

- Advertisement -

KUANTAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) Pahang berharap kerajaan negeri tidak tunduk kepada desakan pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan tanpa izin.

- Advertisement -

Malah Mahkamah Tinggi Kuantan sebelum ini menolak permohonan 204 pekebun untuk mengenepikan notis pengosongan tanah oleh pihak pentadbir tanah negeri tiga tahun lalu.

Timbalan Pengerusi PN Pahang Rosli Abdul Jabar berkata, berdasar laporan media pada tahun 2021, terdapat 4400 hektar tanah yang diusahakan ladang durian di Raub bersatus haram dan diusahakan tanpa sebarang kebenaran kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri tidak perlu takut terhadap gesaan dan ugutan pihak-pihak tertentu walaupun daripada rakan dalam kerajaan campuran.

“Ini kerana isu pencerobohan tanah secara haram merupakan isu yang mencabul kedaulatan negeri dan rakyat secara umum.

“Pencoroboh perlu dikenakan tindakan seperti mana dilakukan kepada orang lain, yang salah tetap salah.

“Penyelesaian yang adil hendaklah diusahakan oleh kerajaan negeri mengikut lunas dan batasan undang-undang,” katanya pada sidang media di sini hari ini. (Foto atas)

Pada 27 Januari lepas Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Islam menasihatkan pekebun Musang King di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum yang terlibat dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi mempertimbangkan semula tindakan itu kerana tanah yang dipertikai milik kerajaan negeri.

Media juga melaporkan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui menggesa kerajaan Pahang menyemak semula syarat pajakan tanah berhubung skim pengesahan ladang durian dengan Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) untuk menyelesaikan krisis pekebun durian.

Rosli yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PN mengikuti rapat perkembangan isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan kebun durian.

Menurutnya juga perkara itu dibangkit semula selepas pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan Campuran Pahang, menunjukkan ada usaha pihak mahu meraih kepentingan dalam kerajaan sekarang.

“Langkah sudah tentu mendatangkan kerugian hasil tanah bernilai puluhan juta ringgit kepada negeri Pahang.

“Justeru PN Pahang menyokong supaya hasil ekonomi daripada industri durian dipulangkan semula kepada kerajaan negeri melalui anak-anak syarikat negeri Pahang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/2/2023

- Advertisement -