Yayasan Amal Malaysia anjur majlis sambutan Tahun Baru Cina

FOTO: JAMAL KEMALA
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yayasan Amal Malaysia mengadakan majlis makan malam sempena Sambutan Tahun Baru Cina yang dihadiri oleh seramai 70 orang Cina, termasuk dalam kalangan muslim, mualaf dan juga sukarelawan di sini, malam tadi.

Pengurus Besar Yayasan Amal Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan (WP), Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud berkata, penganjuran majlis itu adalah antara cara pihaknya menyampaikan Islam.

- Advertisement -

“Objektif utama kita adalah untuk menyampaikan Islam. Ini adalah program tahunan yang mana tahun lepas kita buat. Tahun ini kita buat dengan harapan mereka akan dapat mengenal Islam dengan lebih jelas, betul dan tidak ada prejudis.

“Alhamdulillah, setakat ini kita telah mengislamkan lebih kurang 59 orang warkah sahabat. Jadi ini antara medium yang sesuai yang mana kita jemput datang sini dan kita sampaikan Islam sambil-sambil kita makan.

“Yang datang hari ini adalah Komuniti Warkah (Rumah Didik) Sahabat Chow Kit yang mana kita jemput lebih kurang 10 orang sahaja mualaf. Asalnya 20, tetapi yang datang 10 sahaja, 60 adalah bukan Islam yang selebihnya adalah Yayasan Amal Wilayah, YADIM, JAWI dan mereka yang sepenuh masa berkhidmat di Warung Makan Sahabat,” katanya.

Jelas beliau, Warung Makan Sahabat merupakan satu tempat untuk mengagihkan makanan secara percuma kepada gelandangan, asnaf, ibu tunggal dan orang ramai yang mula dibuka ketika pandemik Covid-19 pada September 2020.

“Tidak kira sesiapa pun yang mengambil makanan, kita akan bagi secara percuma ketika masyarakat tidak dapat bekerja, tidak dapat beli makanan kita sediakan tempat untuk mereka dapatkan makanan secara percuma.

FOTO: JAMAL KEMALA

“Pengagihan makanan juga tidak kira agama atau bangsa sebab kita mengandaikan bahawa ini adalah agregat untuk mereka kenal Islam.

“Bagi makanan percuma insyaallah mereka datang mendekati kita, meluahkan masalah dan akhirnya mereka kata nak masuk Islam. Pendekatan kita bagi makanan jasmani dan rohani,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia cawangan Wilayah, mengharapkan supaya program ini menjadi contoh kepada masyarakat luar.

“Rasulullah menyarankan supaya kita memperbanyakkan bagi salam dan yang keduanya memberi makan kepada orang.

“Bagi salam dan memberi makan dapat mengeratkan silaturahim,” katanya ketika ditemui Harakah selepas majlis berkenaan.

Turut hadir Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Haji Jamuliddin Elias; Setiausaha Yayasan Amal Malaysia, Haji Razali Mokhsin; Pengerusi Yayasan Amal Malaysia WP, Ustaz Mohamad Saifullah Hussin; Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia WP, Dr Rosni Adam dan Setiausaha Yayasan Amal Malaysia WP, Ustaz Hafizul Husni Alias. – HARAKAHDAILY 31/1/23

- Advertisement -