ANKARA: Türkiye menyasarkan 60 juta ketibaan pelancong asing pada tahun 2023, kata Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Mehmet Nuri Ersoy pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan mengenai pelan hala tuju pelancongan Türkiye untuk untuk tahun 2028.
“Sasaran kami untuk tahun 2028 ialah 90 juta ketibaan pelancong asing,” lapor Agensi Anadolu.
Pada 2022, kira-kira 44.6 juta pelancong asing datang ke Türkiye, peningkatan sebanyak 80.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Türkiye melakukan yang terbaik (dibandingkan dengan semua negara) dalam pendapatan pelancongan semasa tempoh pascavirus,” kata Ersoy.
Negara itu menjana pendapatan pelancongan berjumlah AS$46.3 bilion tahun lepas, meningkat daripada AS$38.9 bilion pada 2019, menurut data Institut Statistik Turki (TurkStat).
Beliau berkata pada tahun ini Türkiye menyasarkan pendapatan sebanyak AS$56 bilion.
Memandangkan purata perbelanjaan semalaman untuk pelawat asing ialah AS$86 pada 2022 maka untuk tahun ini ia disasarkan mencecah AS$95 dan AS$118 pada 2028.
Türkiye dijangka mampu mencapai matlamat itu dengan mempelbagaikan pasaran dan bukannya hanya tertumpu di rantau berhampiran, katanya. – BERNAMA