PM langgar prinsip lantik anak sebagai penasihat ekonomi

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat sangat janggal dan bertentangan dengan prinsip apabila melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi dan kewangan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) melahirkan rasa terkejut apabila mendapat tahu daripada media mengenai perkara itu.

“UMMAH terkejut dan merasa janggal apabila mendapat tahu daripada media bahawa anak Perdana Menteri sendiri telah dilantik sebagai penasihat ekonomi dan kewangan di pejabat Menteri Kewangan dan Perdana Menteri pada 3 Januari 2023,” ujar Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perjawatan itu difahamkan telah dicipta (create) bagi membantu menasihati PM secara pro bono (tanpa gaji).

“Agak pelik kerana jika PM memerlukan nasihat kepakaran, sewajarnya beliau melantik seorang dalam kalangan ahli ekonomi yang pakar dalam hal ehwal ekonomi di negara ini,” katanya lagi.

Beliau menambah, pelantikan itu dilihat sangat janggal dan bertentangan dengan prinsip dan janji PM kepada rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, prinsip pelantikan berdasarkan merit kepakaran dan tanpa nepotisme dalam kerajaan dan agensi yang dilaungkan sudah dilanggar dan diketepikan.

“Dalam keadaan negara kita yang sedang bergelut berhadapan dengan kesulitan dan kesuraman ekonomi dunia secara keseluruhannya, adalah penting bagi PM melantik seorang yang benar-benar pakar bagi memberi nasihat dan hala tuju perancangan pembangunan ekonomi negara yang lebih teliti dan berdaya tahan,” tambahnya,

Ini, ujar beliau bagi menyelamatkan negara dan rakyat secara keseluruhan.

Menruutnya, ini memerlukan kepakaran dan pengalaman yang banyak serta meyakinkan semua pihak.

Mohd Zai berkata, agak malang bagi rakyat Malaysia apabila Anwar gagal melaksanakan dan mempertahankan prinsip-prinsip asas utama kerajaan yang dijanjikan semasa pilihan raya umum lalu seperti menolak rasuah, nepotisme, pelantikan berdasarkan merit kepakaran, menurunkan harga minyak dan barang asas makanan rakyat. – HARAKAHDAILY 31/1/2023

- Advertisement -