Penyertaan tenaga buruh wanita yang rendah di Malaysia

Rajah 1: Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (15-64 tahun, %) dalam kalangan 10 Negara ASEAN tahun 2021
- Advertisement -

Seiring dengan perkembangan zaman, kerjaya wanita tidak hanya lagi tertumpu di rumah, membuat kerja-kerja dapur dan menjaga anak, tetapi wanita pada hari ini  mempunyai kerjaya masing-masing dan bersama-sama menggembleng tenaga seiring  lelaki untuk memacu perkembangan negara.

Penglibatan wanita dalam tenaga kerja profesional di Malaysia tidak dapat dinafikan lagi, mereka menjawat pelbagai jawatan penting dalam sektor-sektor utama di negara ini.

Malahan beberapa orang dari mereka menjawat jawatan sebagai gabenor bank pusat, menjawat jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara. 

- Advertisement -

Tidak kurang juga hebatnya mereka yang memasuki badan pembuat keputusan seperti Dewan Rakyat, Dewan Negara, dan menjadi Menteri dan Timbalan Menteri bagi sesebuah kementerian. 

Namun di sebalik semua kegemilangan ini, penglibatan wanita dalam tenaga kerja buruh di Malaysia berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain agak rendah dan dalam masa yang sama perlu diberi perhatian.

Senario tenaga kerja wanita di rantau ASEAN 

Merujuk kepada Rajah 1 menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam kalangan 10 negara ASEAN (bagi mereka yang berumur dalam 15 sehingga 64 tahun, dalam peratusan) pada tahun 2021. 

Agak mengejutkan melihat Malaysia berada di kedudukan yang ke-8 dari segi penyertaan tenaga buruh wanita dalam kalangan 10 negara ASEAN tersebut.

Negara Laos, Kemboja, dan Vietnam yang agak sedikit terkebelakang dari segi pembangunan dan pendidikan terutamanya mempunyai penyertaan tenaga kerja wanita yang lebih tinggi berbanding dengan Malaysia, iaitu masing-masing 74.8, 74.0, dan 69.6 peratus berada di tempat pertama, kedua dan ketiga.

Sementara, tahap penyertaan tenaga buruh wanita di Singapura dan Thailand hampir sama – masing-masing 59.4 dan 59 peratus. 

Kebanyakan tenaga buruh wanita di Laos bekerja di industri pembuatan pakaian di mana jumlah firma sub-sektor pakaian adalah yang terbesar dalam industri di Laos. 

Majoriti wanita di Kemboja pula bekerja dalam industri pakaian dan sektor pelancongan. Penglibatan wanita yang tinggi dalam tenaga buruh bagi Vietnam dan Thailand kerana kebanyakan tenaga buruh wanita terlibat dalam sektor pelancongan yang menjadi nadi utama pendapatan bagi kedua-dua negara ini.

Rajah yang sama juga menunjukkan Indonesia telah memintas Malaysia dari segi penyertaan tenaga buruh wanita.

Ini kerana Indonesia telah perlahan-lahan menunjukkan perkembangan dengan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa telah memilih Indonesia berbanding Malaysia untuk destinasi pelaburan mereka seperti Unilever, L’Oreal, Google dan Marriott International, yang mana ia akan menambah lagi peluang pekerjaan dan seterusnya menggalakkan lagi penyertaan golongan wanita dalam industri tenaga buruh di Thailand. 

Justeru, dalam jangka masa yang panjang, jika tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak yang berwajib dan berkenaan untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh di negara ini, Malaysia akan terus ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan sejawat ASEAN yang lain. 

Wanita di Malaysia dan masa depan

Di Malaysia, wanita masih mendapat hak yang sewajarnya jika dibandingkan dengan negara-negara yang lain. Wanita di Malaysia masih dibenarkan untuk menjawat jawatan-jawatan yang penting dalam kerajaan berdasarkan merit dan kelayakan (walaupun industri atau sektor tersebut didominasi oleh kaum lelaki). 

Berdasarkan sumber dari Parlimen Malaysia, penglibatan wanita dalam badan pembuat keputusan seperti Dewan Negara, Dewan Rakyat, menjawat jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri sememangnya agak rendah dengan hanya sekitar 20 peratus sahaja dalam badan-badan pembuat keputusan ini dari tahun 2019 sehingga tahun 2022.

Agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia tidak pernah menghalang wanita untuk bekerja. Malahan, penglibatan wanita di dalam sektor pekerjaan adalah dibenarkan sekiranya pekerjaan itu memerlukan kepakaran wanita. 

Keadaan ini amatlah berbeza sekali dengan negara-negara Islam lain yang masih berpegangkan kepada prinsip konservatif dan ortodoks yang tidak langsung memberi sebarang kelonggaran, mahupun peluang kepada para wanita untuk menimba ilmu di sekolah, memandu kereta seperti di Arab Saudi beberapa tahun yang lepas (larangan ini telah ditamatkan pada tahun 2018, selepas mendapat bantahan dari rakyatnya sendiri), apatah lagi untuk menjawat jawatan-jawatan yang penting dalam sesebuah organisasi mahupun kementerian.   

Keseimbangan antara hidup dan kerjaya

Wanita bukan sahaja bertanggungjawab dalam menguruskan keluarga, tetapi wanita masa kini perlu bekerja untuk kelangsungan hidup dan menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar. 

Dengan kenaikan kos sara hidup di era endemik, wanita perlu menjana pendapatan yang sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pasangan atau ibu bapa. 

Namun begitu, wanita perlu bijak dalam mengurus masa dan tenaga untuk memikul tanggungjawab antara kerjaya dan keluarga secara optimum. 

Pihak majikan, keluarga dan pasangan perlu memberi sokongan kerjasama dan motivasi kepada wanita dalam mengimbangi antara tanggungjawab keluarga dan kerjaya, contohnya penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak dan masa fleksibel oleh majikan.

Sementara, keluarga atau pasangan perlu bersama dalam membantu melakukan kerja-kerja rumah. 

Kerjasama dan sokongan ini adalah penting bagi memastikan golongan wanita dapat membina kerjaya dan dapat terus memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara.

Dr. Elya Nabila Binti Abdul Bahri (Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur) – HARAKAHDAILY 31/1/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -