PAS sedia manual pengurusan, tarbiah sistematik

Usman Madeaming

KALABAKAN: PAS telah menyediakan manual pengurusan dan manhaj tarbiah begitu eksklusif dan sistematik, kata Naib Yang Dipertua PAS Kalabakan, Usman Madeaming.

Advertisement

“Saya sangat menyokong tema ‘Tarbiah Diperhebat, Pengurusan Diperkemas’ ini, lebih-lebih lagi ia merupakan idea anak muda.

“Hargai idea mereka tapi ingat, jangan diabaikan nasihat dan tunjuk ajar daripada ahli-ahli lama atau orang tua,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Muhibbah Raya kesembilan di Pejabat PAS Kawasan Kalabakan, kelmarin.

Menurutnya, teori yang disusun oleh PAS Pusat sudah cantik cuma pelaksanaan perlu kepada penambahbaikan setiap masa.

Ini katanya, kemenangan yang dikecapi oleh PAS Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis merupakan hasil tuaian yang telah mengikut manual pengurusan dan manhaj tarbiah yang disediakan oleh PAS Pusat.

Sementara itu, ketua cawangan, Aziman Hanafiah berkata, PAS merupakan sebuah organisasi yang memfokuskan tarbiah kepada semua ahli.

“Tarbiah ruhiyyah amat penting kepada pendukung Gerakan Islam kerana ianya sebagai benteng kepada cabaran-cabaran yang akan ditempuhinya.

“Tanpanya boleh menjerumuskan diri ke dalam golongan orang-orang yang gugur di jalan dakwah,” ujarnya.

Aziman mengingatkan ahli bahawa setiap gerak kerja perlu melangkah maju setapak ke hadapan seiring dengan perkembangan teknologi.

Beliau berkata, adalah penting bagi sesebuah organisasi mempunyai tanzim dan manhaj yang tersusun. – HARAKAHDAILY 31/1/2023