Messi kesali kontroversi menentang Belanda ketika Piala Dunia

Lionel Messi menyesali aksinya di hadapan Louis Van Gaal.
- Advertisement -

Pemenang Piala Dunia, Lionel Messi, melahirkan perasaan kesal terhadap kekecohan membabitkan jurulatih dan pemain Belanda ketika perlawanan suku akhir di Qatar.

Dalam wawancara pertamanya bersama Radio Urbana Play of Buenos Aires, sejak menjulang Piala Dunia pada Disember lalu, kapten Argentina itu bercakap mengenai pertembungan sengit dengan Belanda yang dimenangi pasukan Amerika Selatan dalam penentuan sepakan penalti..

- Advertisement -

Sebanyak 17 kad kuning dikeluarkan, termasuk satu kad kepada Messi dalam perlawanan itu.

Messi dilihat menjengkelkan apabila selepas menjaringkan gol dalam perlawanan itu, dia berdiri di hadapan jurulatih Belanda, Louis van Gaal dan menekup kedua-dua tangannya ke telinga. Selepas perlawanan, dia memberi isyarat ke bangku simpanan Belanda dan kelihatan menghina penyerang Wout Weghorst.

“Saya tidak suka apa yang saya lakukan, saya tidak suka apa yang berlaku selepas itu. Itu adalah saat-saat yang penuh ketegangan. Ia berlaku dengan pantas. Tiada apa yang dirancang, ia terjadi begitu sahaja,” katanya mengenai perlawanan suku akhir yang diselubungi kontroversi.

Sebelum pertemuan itu, Van Gaal dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa pemainnya lebih bersedia berbanding pesaing mereka untuk penentuan sepakan penalti. Dia juga berkata “Messi tidak menyentuh bola” pada separuh akhir Piala Dunia 2014; Argentina memenangi perlawanan itu dalam penentuan sepakan penalti.

Messi berkata, rakan sepasukannya memberitahunya apa yang Van Gaal katakan untuk memotivasinya.

Mengenai detiknya bersama Weghorst, Messi berkata ia adalah “semula jadi.”

“Saya bertindak balas begitu. Terdapat banyak perkara dengan pemain ini, saat-saat ketegangan seperti ini. Saya berada di zon campuran. Namun, saya tidak suka meninggalkan imej itu, tetapi perkara ini telah berlaku,” katanya.

Messi juga berkata Argentina secara umumnya lebih baik berbanding Belanda dan memilih Mexico, lawan kedua kumpulannya sebagai paling sukar.

“Ia adalah perlawanan terburuk yang kami main,” katanya mengulas kekalahan dalam perlawanan pembukaan kepada Arab Saudi 2-1, iaitu antara kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia. Argentina kemudian menewaskan Mexico 2-0 untuk kekal dalam saingan kalah mati.

Messi berkata, dia tidak menonton perlawanan akhir menentang Perancis. Argentina memenangi perlawanan akhir menerusi penentuan penalti untuk memenangi kejuaraan Piala Dunia pertama sejak 1986.

“Sejak hari itu, segala-galanya berubah untuk saya. Nasib baik, apa yang kami impikan banyak berlaku. Saya berharap begitu banyak dalam kerjaya saya dan akhirnya, ia datang,” katanya. – AP

- Advertisement -