Keputusan bantahan awal petisyen Masjid Tanah 7 Februari

- Advertisement -

AYER KEROH: Mahkamah Tinggi Melaka di sini, hari ini menangguh kepada 7 Februari ini keputusan bantahan awal petisyen Pilihan Raya bagi membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandes, membuat keputusan itu memandangkan terdapat sisi kelabu (grey area) yang tiada dalam undang-undang dan memerlukan rujukan serta hujahan lanjut.

- Advertisement -

Peguam, Wan Rohimi Wan Daud, berkata sisi kelabu tersebut berkaitan undang-undang terhadap keperluan ‘mati setem’ bagi notis petisyen dan isu yang dibangkitkan peguam pempetisyen.

“Hari ini mahkamah minta setiap pihak buat hujahan ringkasan secara lisan. Kita bangkitkan isu-isu yang mahkamah nak kepastian lagi.

“Jadi ada ‘grey area’ iaitu perkara yang dalam undang-undang tak ada, tetapi bergantung kepada hujahan kedua-dua pihak.

“Antaranya berkaitan ‘stamping’ notis pelantikan peguam cara oleh pempetisyen. Kedua, ada kes yang mahkamah nak rujuk daripada peguam pempetisyen,” katanya ketika ditemui selepas prosiding tersebut.

Pada 3 Januari lepas calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid mengemukakan petisyen bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pempetisyen mendakwa berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan untuk meraih undi.

Pada PRU15, Abdul Hakim yang memperoleh 21,193 undi tewas dengan majoriti 4,411 undi kepada Mas Ermieyati.

Wan Rohimi yang mengetuai pasukan peguam responden berkata, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan tambahan bertulis pada 3 Februari ini.

Katanya, mahkamah juga menetapkan tarikh perbicaraan penuh 13 hari bermula Februari sehingga April.

“Bagaimanapun kalau bantahan awal diterima maka kes itu selesai dan kalau bantahan awal ditolak, maka kes akan diteruskan dengan perbicaraan penuh,” ujarnya.

Pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional, Abdul Hakim Abdul Wahid diwakili oleh peguam daripada Tetuan Rosfinah & Co, sementara Mas Ermieyati diwakili peguam dari Tetuan Tengku Amalin dan Faiz. – HARAKAHDAILY 31/1/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!