Kejayaan SRITI Sabah pada MAIS ke-4 membanggakan

LAHAD DATU: Kejayaan murid SRITI Sabah yang menyertai Mahrajan Amal Islami SRITI (MAIS) peringkat kebangsaan kali ke-4 amat membanggakan.

Pengarah SRITI Negeri Sabah, Kasman Karate berkata, beliau cukup bersyukur dan berbangga atas kejayaan anak-anak SRITI Sabah pada MAIS yang berlangsung di UITM Jengka, Pahang pada 28 hingga 29 Jan 2023.

Advertisement

Menurutnya, buat pertama kali penyertaan dari SRITI Sabah pada  MAIS secara bersemuka dan ia berjaya dapat mencungkil bakat murid-murid, malah dapat melahirkan anak-anak SRITI Sabah yang kenal Tuhannya. 

“Kita boleh lihat di luar sana, tidak semua anak-anak seusia mereka kenal dan tahu tentang Allah SAW, huruf-huruf Al-Quran dan kisah-kisah para Nabi,” tambahnya.

Sementara, Ketua Kontinjen Sabah, Mohammad Ihzzam berkata bahawa SRITI Sabah telah menghantar 15 murid untuk menyertai MAIS kali ini dalam pelbagai acara antaranya, hafazan, khutbah, bercerita dan pidato.

“Dalam pertandingan tersebut, SRITI Al-Falah Kunak telah berjaya mendapat Naib Johan dalam acara hafazan tahap 1 kategori perempuan yang dimenangi oleh Hana Sakinah Muhammad Syukri; manakala kategori lelaki telah berjaya mendapat tempat ketiga yang dimenangi oleh Ahmad Faiz Muhammad Syukri”.

“Pada penyertaan kali ini juga, SRITI As Syafie Putatan telah mendapat tempat tempat ketiga dalam acara Pidato tahap 2 yang dimenangi oleh Muhammad Irfan Waliuddin Maliadir, sementara  acara Khutbah tahap 1 mendapat tempat ketiga yang dimenangi oleh Muhammad Fatih Mubarak Makasara dari SRITI Tahfiz Lahad Datu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohammad Ihzzam mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua guru SRITI dan ibu bapa kerana telah bersama-sama memudahkan urusan dan memberi sumbangan untuk menghantar kontinjen SRITI Sabah menyertai MAIS pada kali ini. – HARAKAHDAILY 31/1/2023