Gagasan Madani Anwar ditimbus defisit kepercayaan

Lantaran kontroversi pelantikan-pelantikan dibuatnya sendiri

- Advertisement -

TEMA Madani bukan baru di telinga sebahagian kita. Wacana ni bukan baru. Kita terus menanti dan memerhati untuk menilai secara matang.

Ada orang cepat klimaks untuk kagum dengan apa-apa retorik. Hanya mendengar pidato dan teori-teori yang diulas dalam buku, kemudian terus klimaks pra-matang. 

Ada sebahagian memerhati secara bijaksana menanti sejauh mana segala retorik lisan dan bertulis itu mampu dilaksanakan dalam realiti yang ada dan dengan kumpulan masyarakat yang wujud.

Sebahagian kita terus bersangka baik agar tema Madani versi Anwar Ibrahim diterjemahkan dengan penuh hormat, bertanggungjawab dan tulus dipercayai. Daki-daki awal pelantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah defisit kepercayaan yang belum pulih. 

Pelantikan diri Perdana Menteri sendiri sebagai Menteri Kewangan menyebabkan harapan yang samar-samar pun kian hilang. Terkini pelantikan anak Perdana Menteri sendiri pula jadi pertikaian. Keadaan semakin gelap berbanding harapan dan sinar. 

Keputusan-keputusan yang diambil apabila melanggar prinsip yang pernah dilaungkan dulu, dikritik keras orang lain memberi makna ‘cakap tak serupa bikin’ atau hipokrasi. Pandangan awam yang dibina mula mencalarkan imej dan memberi bola tanggung serangan pesaing politik. 

Persaingan politik memaksa untuk dilakukan sesuatu supaya kepercayaan awam tak beralih. Supaya rakyat masih letak kepercayaan walaupun telah banyak kesilapan. 

Maka defisit kepercayaan yang telah menimbun menjejaskan survival politik. Dalam keterdesakan, tiada pilihan yang ada untuk menyelamatkan keadaan melainkan menutup silap menimbun ini dengan mencari silap pihak lain.

Strategi bagi memperlihatkan lebih baik adalah menutup silap menimbun sendiri dengan membuktikan pesaing lebih buruk. Maka keadaan ini adalah jauh menyimpang daripada makna sebenar Madani. 

Tindakan sebegini adalah sangat tak beretika dan tak bertanggungjawab. Seterusnya tangan harus tidak terus kotor bagi pesona yang mahu dikultuskan, maka Cyber Trooper (cytro) mula menjadi ejen projek-projek pembodohan bagi mengelirukan khalayak awam supaya pesona penyucian kultus mensakralkan kehodohan demi keuntungan politik. 

Tertarik dengan propaganda terkini kononnya lantikan anak Perdana Menteri sendiri bertugas secara pro bono adalah kehebatan. Seolah-olah tulus tanpa kepentingan. Walhal tidaklah orang terlalu naif sehingga terperangkap dalam perangkap propaganda pembodohan ini.

Kedudukan tinggi sebagai Penasihat Perdana Menteri kononnya tiada konflik berkepentingan. Walhal, kedudukan Penasihat Perdana Menteri boleh mempunyai autoriti tinggi dalam mempengaruhi terhadap akses kekayaan. Jadi apalah maknanya naratif ‘pro bono’ untuk anak Perdana Menteri sendiri konon tanpa elaun yang dimainkan oleh cytro

Apakah projek propaganda yang dimainkan ini telah menjadi pembodohan Madani? 

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
31 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 31/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -