Warga emas gembira terima set kelengkapan solat

- Advertisement -

KALABAKAN: Dewan Muslimat PAS Kawasan Kalabakan menunaikan hajat warga emas agar disediakan set kelengkapan solat.

- Advertisement -

Menurut Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatannya, Irma Nurdin, jelas terpancar kegembiraan dan keterujaan di wajah penghuni Rumah Warga Tua Air Panas apabila menerima barangan yang mereka perlukan.

“Program sebegini akan sering kali diadakan kerana golongan ini sangat memerlukan perhatian dan bimbingan ilmu dalam meniti hujung-hujung usia mereka,” ujarnya pada Program Ramah Mesra Warga Emas, di sini kelmarin.

Sebulan lalu, warga emas yang tinggal di situ meminta disediakan telekung, sejadah dan naskah al-Quran beserta terjemahan.

Muslimat PAS Kalabakan turut menyantuni warga emas yang berbangsa Tionghua dengan memberikan hadiah sagu hati.

Timbalan ketuanya, Norjanah JamJam pula berkata, ikatan mesra di antara warga emas yang berbilang kaum dan agama bersama muslimat PAS akan sentiasa dipereratkan.

“Ini sebagai tanda kasih-sayang sesama manusia, dan mungkin usia mereka sebaya dengan ibu bapa kita.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada kakitangan rumah warga tua yang menerima kunjungan dan melayan kami dengan mesra,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/1/2023

- Advertisement -