Al-Quran: Bukan bersaing angka, tetapi bela maruah Islam

Di sebalik isu bakar dan inisiatif mencetaknya

SEJUTA naskhah al-Quran dicetak untuk diedarkan ke seluruh dunia atas arahan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ia sebagai reaksi balas Malaysia terhadap perbuatan membakar al-Quran dilakukan ahli politik Sweden, Rasmus Paludan di Stockhlom, minggu lalu.

Hanya Allah Maha Mengetahui niat, tujuan atau motif Anwar memutuskan demikian kerana secara zahir ia dilihat sebagai satu inisiatif yang baik. Namun dari satu sudut, langkah Anwar itu juga bersifat materialistik dan populis untuk memancing perhatian dan tumpuan.

Apakah Anwar bertindak seperti itu untuk menunjukkan beliau sedang bersaing dengan Paludan, lalu merasa telah menang dengan satu angka yang sangat besar? Sedang perbuatan Paludan sudah menjadi remeh kerana hanya dapat membakar beberapa naskhah sahaja?

Ia sepertimana beliau memperlekeh PAS yang dikatakannya terlewat membuat bantahan berbanding kerajaan lebih awal mengeluarkan kenyataan tegas berhubung perkara itu? Andai itu mahu ditunjukkan Anwar, bermakna beliau telah meletakkan semua tersebut dalam satu kerangka.

Iaitu dijadikannya pertembungan atau perlumbaan politik dan beliau mesti dilihat berada di hadapan atau mendahului. Walhal sama ada membakar atau mencetak, ia bukan soal jumlah atau angka; biar berjuta, beberapa naskhah atau lembaran muka surat, mahupun beberapa ayat atau huruf.

Isunya ialah nilai dan maruah! Al-Quran adalah lambang harga diri, peribadi, roh, nyawa dan jasad orang Mukmin. Apakah setiap kali ia diperlekeh hina seperti yang berlaku, kita berlumba dan merasa tetap menjulang juara dengan memperbanyakkan materialnya? Sungguh naif dan pincang pemahaman begitu.

Apakah jika satu nyawa umat Islam Palestin diragut pengganas Zionis Israel, kita menyeru agar lebih ramai bayi dilahirkan? Apakah kehilangan seperti itu ‘diselesaikan’ dengan bergantian baharu secara jumlah banyak atau besar? Jika demikian, adakah ganti tanah Palestin yang dirampas lebih setengah abad ini?

Kelantan mungkin tidak mampu mencetak naskhah al-Quran seperti banyaknya diarahkan Anwar. Tapi menerusi pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), bumi Serambi Makkah ini giat mewujudkan pusat-pusat tahfiz wal qiraat. Kelantan berusaha ‘mencetak’ seramai mungkin para huffaz.

Tidak kurang juga institusi seumpama yang diwujudkan oleh individu atau pihak persendirian bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Asasnya, al-Quran membudaya dalam kalangan warga rakyat Kelantan yang ‘dicetak’ pada kehidupan atau rutin harian mereka.

Paling utama, dasar Membangun Bersama Islam pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS, menjadikan al-Quran sebagai panduan di samping al-Hadis, ijmak dan qiyas ulamak. Ketinggian al-Quran dijulang dengan setiap tuntutan dan larangan-Nya diaplikasi dalam pentadbiran.

Lantaran itu, perbuatan biadab dan ekstrem terhadap al-Quran seperti yang berlaku itu dirasa telah mencedera parahkan jasad dan merobek jantung serta mencabut nyawa kami. Ia sama sekali tidak boleh diterima atau dikompromikan, sebaliknya satu tindakan tegas mesti diadakan.

Dari satu segi perbuatan membakar al-Quran itu adalah siri baharu Islamofobia ditaja Barat di mana radikalisme tersebut sangat provokatif dan memicu ledakan api-api persengketaan. Apatah lagi secara terangan ia mendapat kebenaran dari pihak berkuasa dan pemerintah Sweden.

Malah, ketika kecaman diajukan seluruh dunia terhadap perbuatan terkutuk itu, Paludan sekali lagi mengulangi tindakan sama. Kali ini di hadapan sebuah masjid ketika umat Islam di sana baharu selesai solat Jumaat. Juga diadakan dengan kebenaran dan perlindungan pihak polis.

Oleh itu gesaan pelbagai pihak kepada Anwar dalam isu ini, bukan mahu mewujudkan sebuah persaingan politik. Tetapi kerana beliau seorang Perdana Menteri yang mengetuai sebuah negara, maka intervensi di pelbagai peringkat perlu diusahakan atas kapasitinya.

Tindakan ekstrem tersebut mesti ditamatkan segera agar ia tidak meletuskan rantaian perbuatan melampau lain kerana potensinya juga boleh menimbulkan perang. Dengan wakil rasmi negara pelaku itu pula berada di bumi Malaysia ini, usaha secara diplomatik melalui Duta Sweden mesti diadakan.

Rakyat khususnya kaum Muslimin mahu melihat kemuliaan martabat al-Quran dibela di negara ini yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan. Ia mesti dijunjung tinggi dan bukannya diinjak atau diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/1/2023

Advertisement