Penduduk bimbang banjir berulang semula

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penduduk yang tinggal di kawasan rendah bimbang banjir akan berulang semula ekoran hujan lebat yang melanda Kelantan sejak Jumaat lepas.

Paling gelisah ialah penduduk di Rantau Panjang yang mengalami kerugian akibat banjir yang melanda pertengahan Disember lepas.

- Advertisement -

Banyak kampung yang belum pernah berlaku banjir sejak berpuluh tahun, namun pada Disember lalu berdepan suasana cemas ekoran banjir sehingga ke paras bumbung.

Begitu taman perumahan Residensi PRIMA Lubok Jong, Rantau Panjang tenggelam hampir dua meter. Kesan-kesan banjir masih kelihatan sehingga sekarang termasuk longgokan perabot masih terdapat di hadapan rumah.

Residensi PRIMA Lubok Jong

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk untuk Kelantan dan Terengganu sehingga 30 Januari.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca itu melanda beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh serta Terengganu.

Manakala, amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga Isnin melibatkan tiga negeri, iaitu Johor, Pahang dan Kelantan.

Daerah yang terlibat di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang); Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin); serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” katanya pada kenyataan Jumaat lepas.

MetMalaysia turut memberi amaran angin kencang 50 hingga 60 kilometer/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan dalam tempoh tersebut.

Kenaikan paras air laut berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai timur Semenanjung dijangka berlaku sehingga Selasa, 31 Januari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan atau talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – HARAKAHDAILY 29/1/23

- Advertisement -