Muslimat wakaf tanah bantu PAS hadapi PRN

Rodiah Puteh (kiri) ditemani suami (kanan) menyerahkan surat pengakuan wakaf tanah kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Ahmad Yahaya.
- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Kedah berjaya mengumpul lebih RM500,000 untuk Dana Pilihan Raya Negeri (PRN) sempena pelancarannya, malam semalam.

Selain itu sebidang tanah seluas 0.4 hektar (1 relong 192 jemba) di Kampung Lamdin, Naka, Padang Terap diwakafkan oleh pemiliknya, Rodiah Puteh kepada PAS.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, kutipan dana berkenaan secara tidak langsung menolak tohmahan dan fitnah pihak tidak bertanggungjawab kononnya PAS mendapat sumbangan daripada tauke judi khususnya membiayai perbelanjaan pilihan raya.

“Budaya menderma hidup subur di dalam PAS sejak dahulu lagi, malah ahli-ahli PAS sanggup menabung untuk disumbangkan kepada jemaah,” katanya pada program tersebut.

Ujarnya lagi, musuh politik PAS cuba memainkan isu untuk melemahkan parti itu semata-mata bagi menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Namun tambah beliau, rakyat sudah lama mengetahui PAS merupakan parti yang bersih, berintegriti, prihatin dan stabil.

Ahmad turut meluahkan rasa terharu di atas pengorbanan seorang muslimat dari Kuala Kedah yang sanggup mewakafkan tanahnya untuk perjuangan Islam.

“Ini salah satu contoh pengorbanan ahli kepada perjuangan Islam kerana mereka yakin setiap yang disumbang akan dibalas Allah SWT kelak.

“Malah sehingga kini tanah kepunyaan PAS ada di merata tempat di Kedah termasuk yang dimiliki Muasasah Darul Ulum,” ujar beliau.

Sementara itu sumbangan yang diterima termasuk dari Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah sebanyak RM100,000, Lajnah Ekonomi PAS Kedah (RM10,000), Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Khas Menteri Besar (PIKAT – RM5,000), Adun-Adun PAS Kedah (RM15,000), Ahli Parlimen PAS Kedah (RM13,000) dan Dewan-Dewan Negeri PAS Kedah (RM30,000).

Penderma termuda, Mohd Khalil Hamidi Musoddak juga tidak ketinggalan menyerah tabungannya sebagai dana PRN.

Turut hadir pada program tersebut Timbalan Pesuruhjaya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi; Setiausaha Musoddak Ahmad, wakil-wakil rakyat, wakil dewan-dewan negeri dan kawasan. – HARAKAHDAILY 29/1/23

- Advertisement -