Proses Zahidisasi Umno

- Advertisement -

KEJADIAN yang selama ini dikhuatiri akar umbi Umno dan simpatisan Umno tiba jua akhirnya apabila faksi pemimpin Umno yang tidak sealiran dengan Mein Fuhrer Presiden Umno telah dipecat dan digantung.

Tan Sri Noh Omar, figura besar Umno di Selangor dan Khairy Jamaluddin, figura besar Umno di kawasan urban dan semi urban serta magnet generasi milenial telah dipecat. Manakala nama-nama pemberani seperti DS Hishamuddin, Shahril Hamdan, Salim Sharif dan Maulizan Bujang telah digantung.

Pembesar Umno Johor yang digemari marhaen, Dato Hasni pula sekadar dilucutkan jawatan Pengerusi Umno Johor dan ditukarkan kepada loyalis Zahid, Khaled Nordin.

‘Mein Fuhrer’ Zahid Hamidi dan para loyalisnya ternyata terus mengecewakan ekspektasi rakyat dengan keputusan terbaru ini. Enggan membawa muka baharu, enggan bersama koalisi parti yang lebih dekat dengan ideologi Umno, enggan membuka ruang demokrasi dalam parti dan terakhir, enggan menerima kumpulan yang berbeza pendapat dengan Presiden.

Apakah yang akan berlaku pada Umno? Kerana sejumlah besar segmen penyokong Umno dipegang oleh tokoh-tokoh ini. TS Noh Omar mewakili Selangor, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan mewakili segmen anak muda dan Hasni dan Hishamuddin mewakili Johor. Kelihatannya akar umbi Umno bakal tinggal akar sahaja.

Khairy Jamaluddin pernah menjadi tokoh pembangkang paling popular dalam survey yang dilakukan oleh Citrine One & Callmark Solutions pada 2019. Survey yang agak ‘bias’ ini dibuat dalam kalangan demografi warga bandar dan majoriti bukan bumiputera. Meskipun tidak memberikan gambaran yang tepat, namun survey ini sedikit memberi bayangan penerimaan Khairy Jamaluddin dalam kalangan urban dan anak muda. Keputusan PRU15 yang lalu juga merupakan bukti jelas, aura Khairy Jamaluddin tidak boleh diketepikan. Daripada kalah majoriti sebanyak 26,000, Khairy Jamaluddin berjaya merapatkan jurang ini kepada 2,000 sahaja.

Shahril Hamdan pula lepasan Sarjana Muda Ekonomi daripada UK yang juga merupakan anak didik Khairy Jamaluddin, mempunyai pengalaman dalam dunia korporat merupakan antara talian hayat sokongan anak muda kepada Umno. Beliau yang membawa visi lebih segar dan rasional kepada Umno tampaknya tidak lagi mampu bertahan dalam arus Zahidisasi Umno ini.

Kalau diceritakan satu-satu tokoh yang dikenakan tindakan ini, pasti lebih jelas kita akan nampak betapa tindakan terbaru diambil Zahid dan loyalisnya merugikan Umno di mata simpatisannya.

Zahid dan penguasa Umno kena sedar. Pengikut totok Umno dan Ketua Cawangan dan Bahagian mungkin boleh dibeli. Tetapi para simpatisan Umno yang selama ini menyokong Umno atas dasar pemerintahan Umno memang tidak suka dengan tindakan menjadikan parti keramat Melayu ini sebagai barangan peribadi.

Ke manakah Umno ala Zahid ingin dibawa? Apakah tindakan sebegini destruktif yang melecehkan tokoh-tokoh besar Umno merupakan tindakan seseorang yang menyayangi Umno? Apa yang pasti Umno terus mengalami proses Zahidisasi demi mengukuhkan lagi kedudukan pemilik Yayasan Akalbudi menguasai Umno.

Sebagai kesimpulannya, kepada para pembesar Umno yang terbuang kerana tegas dengan prinsip kalian. Kalian tahu ke mana harus kalian tuju. Marilah bersama wadah yang akan menghargai jasa dan kerja buat anda. Arau sudah membuktikannya.

UTHMAN CHE AZIZ – HARAKAHDAILY 28/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -