PH-BN kaut laba selepas mempermain pengorbanan rakyat

- Advertisement -

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akhir-akhir ini saling mengeluarkan kenyataan untuk memperkukuhkan kerjasama bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.

Antara yang mengeluarkan kenyataan termasuk Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli. Namun masihkah kita ingat siapa yang pernah menyatakan orang pertama yang akan menentang sekiranya PH bekerjasama dengan BN. Hari ini apa sudah berlaku. Kata orang Besut cakap tidak serupa bikin.

- Advertisement -

Kerana itu nampaknya kerjasama PH-BN bukan kerjasama dalam keadaan terpaksa seperti yang mereka dakwa semasa mula-mula membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ramai masih ingat Anwar Ibrahim mengumumkan pakatan bersama dengan Zahid Hamidi bagi membentuk kerajaan PH-BN beberapa hari selepas PRU-15 berakhir. Maka bingunglah sekalian rakyat Malaysia.

Manakan tidak, PH dengan kempen ‘anti-penyamun’, sementara BN dengan kempen ‘No Anwar, No DAP’ ‘ bagaikan nak rak’ semasa kempen PRU-15. Tiba-tiba hanya tiga hari selepas pilihan raya mereka berpelukan. Sandiwara itu tentunya memualkan rakyat.

Yang pening pemimpin-pemimpin pertengahan, ahli-ahli di akar umbi dan penyokong yang ‘terluka’ dan ada yang ‘cedera parah’ berperang sesama mereka semasa kempen. Mereka kata “Eh, apa sudah jadi ni?”.

Lalu untuk merasionalkan apa yang berlaku maka ramailah ‘cybertrooper’ PH yang membuat konten-konten bagi merasionalkan semula apa yang berlaku itu. Cybertrooper BN pula tidak kata apa. Mereka seperti terperangkap angkara presiden parti sendiri.

Kata cybertrooper PH, apa yang berlaku bukan bermaksud mereka sudah bersekongkol dengan BN yang digelar ‘penyamun’ sebelum ini. Tetapi ia terpaksa dilakukan untuk memenuhi titah Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk ‘Kerajaan Perpaduan’, bukan kerana bersetuju dengan BN.

Cybertrooper Perikatan Nasional (PN) pula muncul merungkaikan semasa pembentukan kerajaan PN-BN pemimpin BN ‘kluster mahkamah’ tidak diberi jawatan kabinet walau pun mereka presiden parti. Namun cybertrooper PH kata ‘masa tu tiada Akta Anti Lompat’.

Apabila cybertrooper PN kata, Akta Anti Lompat tidak menyatakan presiden parti berhak masuk kabinet, PH pula menggunakan alasan titah Yang di-Pertuan Agong. Jadi seolah-olah mereka hakikatnya tidak mahu bersama dengan BN, tetapi tidak ada pilihan lain… kononnya.

Sebenarnya konsep ‘kerajaan perpaduan’ bukan sesuatu yang mengikat parti-parti yang membentuk kerajaan bekerjasama dalam pilihan raya. Parti-parti yang bermusuh dalam pilihan raya kemudiannya bersama membentuk sesuatu kerajaan perpaduan sebenarnya masih menyembunyi dendam lama.

Sekiranya berlaku pilihan raya kecil atau berlaku PRU penggal ke-16 maka parti-parti yang berada di dalam kerajaan perpaduan akan bertanding semula menentang antara satu sama lain seperti asal.

Jadi, sekiranya PH dan BN tiba-tiba membuat pakatan bersama untuk menghadapi PRN yang bakal berlangsung, maka itu bermakna pakatan tersebut bukan satu ‘pakatan terpaksa’, tetapi pakatan yang terancang.

Hakikatnya semasa PRU15, rakyat mengundi PH kerana mahu menghukum ‘penyamun’ dalam Umno. Malangnya selepas PRU15 mereka tiba-tiba bergabung. Harapan rakyat yang mengundi mereka jelas dikhianati.

Jelaslah pakatan terancang itu sekadar menyembunyikan wajah ‘munafik’ semasa berkempen PRU-15. Hari ini PH-BN mengautkan laba selepas mempermainkan pengorbanan rakyat. – HARAKAHDAILY 28/1/23

- Advertisement -