Hoki Piala Dunia: Malaysia tempat ke-13, tumpaskan Jepun 3-2

Pemain Malaysia girang selepas menembusi gawang Jepun. - MHC
- Advertisement -

Shello Silverius dan Shahmi Irfan Suhaimi mengemudi Malaysia meraih kemenangan 3-2 ke atas Jepun dalam perlawanan klasifikasi 13-16 Hoki Piala Dunia di Stadium Birsa Munda, hari ini.

Kemenangan itu memastikan Malaysia memperoleh penamat yang lebih baik berbanding Piala Dunia sebelum ini.

Malaysia memulakan perlawanan dengan rentak positif apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pertama menerusi Shello Silverius pada minit ke-8.

- Advertisement -

Namun Jepun mengambil kesempatan dua kali, pertama apabila kapten Malaysia, Muhammad Marhan Mohd Jalil, dilayangkan kad kuning dan terpaksa keluar selama tujuh minit. Ketika itu, Jepun menerusi Kaito Tanaka menjaringkan gol padang pada minit ke-24.

Pada minit ke-32, Faizal Saari pula dilayangkan kad hijau dan terpaksa keluar selama tiga minit. Sekali lagi ketika kehilangan sementara itu, Jepun memanfaatkan kelebihan pemain dengan Seren Tanaka pula menjaringkan gol padang.

Tanpa perlu menunggu lama, Shello sekali lagi menjadi wira apabila menjaringkan gol penyamaan sebelum Shahmi meraih gol kemenangan pada minit ke-34.

Penghujung suku ketiga perlawanan menyaksikan Malaysia berdepan serangan bertali arus Jepun, namun pertahanan beraksi cemerlang untuk menangkis lima pukulan sudut penalti.

Suasana bertambah panas pada suku terakhir kerana kedua-dua pasukan berusaha habis-habisan. Jepun kekurangan seorang pemain selepas Masaki Ohashi dilayangkan kad kuning pada minit ke-45 dan pada minit akhir perlawanan, Muhamad Ramadan Rosli pula diketepikan tiga minit selepas menerima kad hijau pada minit ke-52.

Kad kuning Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-58 menyaksikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Aksi cemerlang Shello Silverius melayakkannya menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan. – MHC

Jurulatih negara, Arul Selvaraj, berkata pemain bangkit dan beraksi dengan baik, terutama pada suku kedua dengan pergerakan dan kawalan yang ternyata menunjukkan mereka mahu memenangi perlawanan itu.

“Kami melepaskan pukulan sudut penalti, tetapi pemain, terutama pertahanan melakukan yang terbaik untuk menggagalkan Jepun.

“Saya mempunyai sesi perbincangan dari hati ke hati bersama pemain dan mereka sedar apa yang perlu dilakukan. Kami perlu memenangi perlawanan ini dan memastikan membawa momentum kemenangan ini untuk meneruskan persiapan ke Sukan Asia yang merupakan tugasan kami seterusnya,” katanya.

Kemenangan Malaysia bertambah manis apabila Shello yang berusia 23 tahun dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Arul berkata: “Saya fikir ia adalah anugerah yang wajar untuk Shello. Walaupun usianya masih muda, dia menjadi pemain utama kami.

“Dia juga seorang pemain yang sangat bijak, terutama dengan pergerakannya tanpa bola. Selain itu, kadar kerjanya sangat tinggi, terutama usaha untuk memenangi semula bola untuk kami. Persembahannya amat membanggakan.” – MHC

- Advertisement -