Agong berkenan sempurnakan pelancaran Karnival MAIWP 2023

Majlis pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada hari ini, 28 Jan 2023. (FOTO: MAIWP)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka, di sini, pada hari ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Nai’m Mokhtar, serta Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

- Advertisement -

Program Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang julung-julung kalinya telah diadakan oleh MAIWP selama dua hari bermula  hari ini, 28  hingga esok, 29 Januari di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin.  

Mohd Daud berkata, karnival yang diadakan bermula pada hari ini tersebut bertemakan Kecemerlangan MAIWP Ke Arah 50 Tahun – Memperkasa dan Berdaya Usaha.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mencemar duli melawat gerai Karnival MAIWP 2023.

“Ia bertujuan untuk menyebarkan lagi peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh MAIWP kepada mereka yang memerlukan; selain memperkasakan nilai kebersamaan MAIWP dengan agensi-agensi yang terlibat menerusi agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan khususnya menerusi agihan zakat,” ujarnya.

Tambah beliau, karnival yang diadakan ini telah menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf, perkhidmatan dari Institusi Pendidikan dan Kesihatan MAIWP, Walimatul Urus Perdana dan MAIWP Run 2023.

Selain itu juga, karnival tersebut turut meraikan sebanyak 100 buah reruai yang disediakan bagi menarik kehadiran warga Wilayah Persekutuan khasnya dan Malaysia amnya ke Karnival MAIWP ini.

Sehubungan itu, Mohd Daud turut memberitahu bahawa Karnival MAIWP yang berlangsung ini akan dijadikan kalendar bagi aktiviti tahunan untuk warga Kuala Lumpur.

Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan sijil penghargaan, plak serta cek cura berjumlah RM3,000 kepada Ikon Pendidikan MAIWP, Muhammad Ameerullah.

“Ini merupakan permulaan kepada perancangan berimpak besar yang MAIWP akan laksanakan pada tahun ini. Pelbagai program telah dirancang. 

“Antaranya penubuhan dapur berpusat (central kitchen), pembinaan Masjid Cina di Jalan Davis, pembelian perumahan mampu milik di Labuan untuk golongan asnaf, penubuhan pusat dialisis dengan kerjasama rakan strategik, dan penubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Kelainan Upaya (Autismes, ADHD-Attention Deficit Hyperactive, Syndrom Down, Dyslexia),” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini pihak MAIWP telah menawarkan sebanyak 30 skim bantuan zakat merangkumi bantuan daripada aspek keperluan asasi, pendidikan, ekonomi dan kebajikan.

“Program pengagihan bantuan ini bukan hanya pada bulan-bulan tertentu sahaja, sebaliknya berjalan sepanjang tahun.

“MAIWP telah mengagihkan bantuan kewangan bulanan berjumlah RM500 hingga RM1,000 setiap bulan yang dimasukkan terus ke akaun bank golongan asnaf.

“Sehingga kini, seramai lebih 30,000 penerima terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf  yang telah menerima bantuan ini sepanjang tahun,” jelasnya. 

Mohd Daud dalam sidang ucap utama majlis pelancaran Karnival MAIWP 2023 yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini.

Selain itu, katanya lagi, MAIWP juga telah menyediakan beberapa bantuan yang berbentuk ‘high impact’ (impak besar) yang menekankan kepada pembangunan ekonomi asnaf menerusi bantuan berbentuk keusahawanan. 

Ia termasuklah yang telah dilaksanakan seperti program Laman Cendawan Asnaf dengan penglibatan 15 asnaf, agropreneur MAIWP menerusi kerjasama dengan Grasicili seramai 10 orang asnaf, Bijaktani Hidroponik Asnaf yang melibatkan enam kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan penglibatan 180 asnaf, dan Program Forensic, Coaching and Mentoring Asnaf yang memberi manfaat buat 138 asnaf.

MAIWP turut bekerjasama dengan pusat latihan dan pemain industri bagi menyediakan program latihan industri dengan jaminan kerjaya kepada anak-anak asnaf. 

“Seramai 351 orang asnaf dengan peruntukan sebanyak RM4.3 juta dana zakat telah diperuntukkan bagi membiayai kursus dan latihan kemahiran ini sebelum anak-anak ini diserap dalam dunia pekerjaan yang sebenar,” katanya.

Mohd Daud turut memberitahu bahawa dana zakat yang yang diperolehi telah dimanfaatkan bagi membangunkan institusi pendidikan dan kebajikan. 

Antaranya, MAIWP telah menubuhkan institusi pendidikan dari peringkat usia muda sehingga peringkat pengajian tinggi. 

Ikon Pendidikan MAIWP 2023, Muhammad Ameerullah.

Menurut beliau lagi, selain penyediaan infrastruktur pendidikan, pada tahun 2022 juga MAIWP telah bersama-sama menyahut seruan kerajaan Malaysia untuk memastikan tiada anak-anak asnaf yang tercicir dari  aspek digitalisasi pendidikan dengan menyediakan kemudahan tablet dan wifi percuma kepada anak-anak asnaf. 

“Tahun 2022, MAIWP telah membelanjakan lebih RM100 juta yang memberi manfaat kepada hampir 40,000 anak-anak asnaf.

“Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM855,519,208.03 dana zakat yang diagihkan menerusi skim Bantuan MAIWP dengan jumlah penerima sebanyak 220,769 penerima.” jelasnya. 

Pada majlis kali ini, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sijil penghargaan, plak serta cek cura berjumlah RM3,000 kepada Ikon Usahawan MAIWP, Robiatul Adawiah Ibrahim dan Ikon Pendidikan MAIWP, Dr Muhammad Ameerullah Sahudin. –HARAKAHDAILY 28/1/2023

- Advertisement -