UMK fokus penyelidikan pengkomersial jana kewangan universiti

- Advertisement -

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yakin sembilan inisiatif baharu atau Nine Strategic Innovation Initiatives (9SI2) penyelidikan pengkomersial yang digariskan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) mampu menyumbang kepada pertumbuhan penjanaan pendapatan universiti berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, sembilan inisiatif baharu itu menjadi teras yang merangkumi semua bidang daripada sains dan teknologi (S &T), sains sosial, kemanusiaan dan kesenian serta kerjasama strategik.

Menurutnya, sembilan insiaitif baharu itu digerakkan bagi meningkatkan sumber pendapatan universiti melalui penubuhan sembilan Pusat Penyelidikan dan Kecemerlangan Ilmu seperti  Gold Rare Earth and Material Technopreneurship Centre (GREAT), Angkasa UMK Research Academy (AURA), Innovation and Entrepreneur Incubation Centre (IEIC) dan Tropical Rainforest Research Centre (TRACE). 

- Advertisement -

Penubuhan sembilan pusat kecemerlangan berkenaan turut didokong dengan penubuhan 4IR Competence Centre, Ruminant Innovation and Commercialization Hub (RICH), Pusat Pemikiran Keamanan dan Kesejahteraan Insan (PEMIKIR), Jeli Food Farm Valley (JFFV) dan DAM Studio di bawah payung besar Quadruple Helix – yang mengambil kira kerjasama ahli akademik, industri, kerajaan dan komuniti.

“Pendekatan ini selaras dengan ucapan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada perasmian Karnival Penyelidikan di Universiti Malaya pada Januari lalu.

Dalam ucapan itu, beliau telah menggariskan lima perkara yang perlu diambil kira oleh institusi pengajian tinggi sebagai ‘guiding principal’ bagi melaksanakan penyelidikan dan inovasi.

Prof Arham Abdullah

“Selain itu, sumber kewangan menerusi dana kerajaan yang semakin terhad,  menyebabkan UMK mengambil pendekatan dengan membuka jaringan yang lebih luas dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan juga industri.

“Alhamdulillah, usaha itu mula menampakkan hasil menerusi penubuhan institut kecemerlangan itu yang berjaya memperoleh sumber dana dari pelbagai agensi, contohnya dari European Commission (EC), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Huawei, Alibaba dan Microsoft,” katanya.

Elemen komuniti

Institut kecemerlangan yang ditubuhkan di UMK juga tidak terhad kepada satu kepakaran sahaja, malah projek yang dijalankan turut merentasi pelbagai bidang yang terdapat di UMK. 

Kolaborasi juga dijalankan dengan universiti-universiti lain dan juga dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan, serta industri.

“Penubuhan GREAT, IEIC, TRACE, JFFV telah pun mula beroperasi dan berjaya menyumbang pendapatan kepada universiti. 

“Elemen komuniti turut diterapkan kerana bertepatan dengan hala tuju kementerian sebelum ini iaitu pihak akademia perlu membentuk jaringan dan usahasama bersama masyarakat, sektor awam dan swasta, agar penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan benar-benar menepati kehendak golongan sasaran dan berupaya membantu golongan terbabit meningkatkan produktiviti dan kualiti produk,” jelasnya.

Institut kecemerlangan yang ditubuhkan di UMK juga tidak terhad kepada satu kepakaran sahaja.

Tambah beliau, kesemua pencapaian itu adalah selari dengan strategi kelima dalam Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi (Sejahtera IPT): Memacu Kesejahteraan Komuniti.

Dalam pada itu, Pengurusan Tertinggi Universiti yang diterajui oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Senator Tan Sri Haji Mohamad Fatmi Che Salleh dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak, sentiasa positif dan menyokong pendekatan oleh pejabat TNCPI untuk memacu kecemerlangan universiti.  

Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, penubuhan GREAT merupakan sebuah pusat perkhidmatan bagi menjalankan analisis emas dan logam bumi yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat di bawah kerajaan negeri Kelantan seperti PMBK Azhab Sdn. Bhd. – yang berfungsi menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahan mineral, emas dan sebagainya di negeri Kelantan.

Pusat kecemerlangan AURA

GREAT UMK, menurut beliau, dapat membantu industri emas, logam dan mineral yang diwujudkan untuk menjadi  pusat jualan emas bagi aktiviti keusahawanan/pengkomersilan serta sebagai ‘one stop centre’ bagi verifikasi kualiti emas di Malaysia.

UMK menggariskan sembilan inisiatif baharu, Nine Strategic Innovation Initiatives (9SI2) penyelidikan pengkomersial dalam menjana pendapatannya.

“Secara tidak langsung menerusi aktiviti yang dijalankan oleh GREAT mampu menjana pendapatan kepada negara dan universiti.

“UMK juga sentiasa berhasrat menjuarai  aspek keusahawanan dan melalui penubuhan Angkasa UMK Research Academy atau AURA bakal menjadi pusat rujukan dalam bidang program keusahawanan koperasi melalui kerjasama pintar dengan ANGKASA,” ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, AURA kini bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan antaranya melibatkan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan  Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Pusat kecemerlangan AURA telah berjaya memperoleh geran PENJANA KPT PACE 2022 bagi pensijilan Profesional Koperasi (ANGKASA) dan  program keusahawanan, dilantik sebagai perunding untuk Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi Malaysia.

“AURA juga bekerjasama dengan ANGKASA bagi penempatan pelajar latihan industri di 46 buah koperasi yang terpilih sekaligus mereka akan diserapkan dalam koperasi berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan,” jelasnya.

Prof Julie Juliewatty

Sementara itu, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Prof. Ir. Ts. Dr. Julie Juliewatty Mohamed berkata, penubuhan IEIC boleh menjadi tarikan utama kepada Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) di wilayah Pantai Timur bagi menganalisis sampel makanan, herba dan mineral yang berakreditasi.

Katanya, IEIC juga mampu menyokong ekosistem penyelidikan dan inovasi, seperti kejayaan Technology Park Malaysia (TPM) di Bukit Jalil  yang mana belum pernah pusat seumpama itu diwujudkan di Pantai Timur.

“IEIC juga menjadi sokongan kepada program akademik di UMK dalam menghasilkan pelajar yang berbakat dan berkemahiran.

“Penubuhan RICH pula akan bertindak sebagai hub keusahawanan yang ditubuhkan di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UMK,” ujar beliau.

Menurutnya, RICH telah ditubuhkan pada 2021 dengan objektif utamanya untuk menyokong pembangunan industri ternakan di Kelantan dengan menyediakan makanan haiwan yang berkualiti tinggi dan mencukupi  serta menyediakan perundingan am mengenai nutrisi  dan kesihatan  ternakan kepada masyarakat setempat.

“Pelbagai kejayaan telah dicapai oleh RICH antaranya ialah projek mengeksploitasi penggunaan jerami padi yang dihasilkan melalui proses pengeluaran padi dan hanya dibakar untuk proses pelupusan.

“Insya-Allah, penubuhan RICH dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada UMK, tetapi juga kepada masyarakat tempatan seperti pembekalan makanan berkualiti serta khidmat perundingan profesional yang ditawarkan,” ujar beliau lagi.

Kolaborasi Huawie, Microsoft, Alibaba

Sementara, ujar beliau, dalam usaha memacu ekonomi digital bagi melengkapkan fakulti serta  pelajarnya untuk masa depan, UMK menubuhkan 4IR Competence Centre dengan kerjasama syarikat konglomerat IT seperti Huawei, Microsoft dan Alibaba.

“4IR Competence Centre akan menyediakan latihan dan kursus pensijilan profesional dalam bidang Kepintaran Buatan (Artificial Intelliegence/AI), Komputeran Awan (Cloud Computing) serta Internet Benda (IoT),” jelasnya.

Penubuhan GREAT merupakan sebagai pusat perkhidmatan bagi menjalankan analisis emas dan logam bumi yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat di bawah kerajaan negeri Kelantan.

Tambah beliau, kerjasama pensyarah dan pelajar mendapat latihan dan pendedahan menggunakan modul dari syarikat-syarikat tersebut dan sebahagiannya digunakan dalam silibus di dalam kelas.

“Inisiatif ini dibangunkan bukan sahaja untuk aktiviti penyelidikan tetapi juga sebagai tempat latihan sebenar untuk melatih nilai keusahawanan kepada warga UMK sesuai dengan teras UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan.

“Setiap pusat yang dibangunkan dikehendaki melahirkan sebuah syarikat terbitan (start up) atau syarikat hiliran (spin-off) bagi merancakkan aktiviti keusahawanan dimana sebahagian syarikat pelajar di letakkan di bawah pusat yang dibangunkan ini,” katanya lagi.

Beliau berharap, pendekatan ini membuahkan hasil apabila pusat yang dibangunkan ini telah berjaya menguruskan pusat dengan dana sendiri hasil dari aktiviti keusahawanan yang dijalankan.

Projek penyelidikan RM4.6 juta

Selain itu, tambah beliau, UMK turut memperkenalkan JFFV sebagai inisiatif untuk membangunkan gedung makanan mini di dalam kampus yang bukan sahaja berfungsi bagi membekalkan makanan kepada masyarakat setempat tetapi juga sebagai makmal lapangan pelajar, pusat penyelidikan pensyarah dan pelajar pasca siswazah, inkubator keusahawanan untuk pelajar dan inkubator untuk agropreneur di kawasan Jeli.

UMK cawangan Jeli memperkenalkan JFFV sebagai inisiatif untuk membangunkan gedung makanan mini di dalam kampus.

“Pada masa sama, pihak universiti  juga mewujudkan PEMIKIR di bawah FBI yang bermatlamat sebagai satu entiti berfokus mendokong pengembangan ilmu di fakulti dalam bidang berkaitan keamanan dan kesejahteraan insan melalui; penyelidikan, penerbitan, persidangan/wacana ilmiah, perundingan dan pasca siswazah.

“PEMIKIR memainkan peranan melalui pendekatan akademik dalam mentransformasikan pemikiran masyarakat berkaitan isu nilai dan pembangunan insan,” jelasnya.

Dalam usaha melestarikan alam sekitar dan pemuliharaan hutan pula, beliau berkata, UMK mengambil inisiatif dengan menubuhkan UMK TRACE, hasil kerjasama UMK dan Yayasan Pulau Banding, Kumpulan EMKAY untuk menggalakkan kajian dan keterlibatan menyeluruh dalam pengurusan Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor.

Menurut Prof. Dr. Julie Juliewatty lagi, kerjasama Yayasan Pulau Banding (PBF) dan Belum Rainforest Management Sdn Bhd (BRM) itu membolehkan kawasan Pulau Banding dijadikan sebagai pusat kajian hutan hujan tropika.

Selain itu, UMK TRACE berada lokasi strategik institut berkenaan di gerbang pintu masuk Taman Negeri DiRaja Belum yang telah dicalonkan sebagai UNESCO World Heritage Site.

Terbaharu, pihak UMK melalui UMK TRACE telah bekerjasama dengan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) untuk kerjasama menjalankan projek penyelidikan berjudul, Securing The Resiliency and Sustainability of Royal Belum Forest Against The Impact of Climate Change di bawah dana European Commission yang bernilai satu juta Euro (RM4.6 juta)  untuk tempoh lima tahun. – HARAKAHDAILY 27/1/2023

- Advertisement -