Peruntukan MP: Era PN agih, era PH-BN sekat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kini selepas dua bulan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) menerajui negara peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang masih belum disalurkan.

Ahli Parlimen (MP) Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu dilihat bertentangan dengan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mahu memberi peruntukan pembangunan secara saksama.

- Advertisement -

Katanya, dana terbabit untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan penduduk dan melaksanakan projek pembangunan dan kemudahan pada skala kecil.

“Sehingga sekarang janji itu masih belum ditunaikan. Peruntukan itu bukan untuk wakil rakyat sahaja, tetapi untuk melaksanakan program pembangunan kecil di kawasan masing-masing.

“Sedangkan pada zaman Perikatan Nasional (PN) dahulu, kita bagi semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik, jadi kita mendesak supaya peruntukan itu disalurkan sebagaimana yang dijanjikan dalam Manifesto PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada peserta gotong royong bagi membersihkan Tanah Perkuburan Islam Mukim Lubok Pukol di Dewan Undangan Negeri (Dun) Demit di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berharap supaya perubahan berlaku seiring Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan slogan Malaysia Madani bagi memacu pembangunan negara.

Menurut beliau, antara ciri utama dalam Malaysia Madani ialah melaksanakan keadilan dengan sebaik mungkin kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang keagamaan, warna kulit serta fahaman politik.

“Dengar khabarnya PN tidak akan diberikan peruntukan, tetapi kita harap akan ada perubahan selepas dilancar Malaysia Madani yang adil sebagai ciri utama madani,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/1/23

- Advertisement -