PAS tolak budaya ekstremisme agama, perkauman sempit

- Advertisement -

PAS Selangor tidak pernah menjaja mahupun membawa budaya ekstremisme yang bertentangan dengan agama malah ia ke hadapan dalam mahu membanteras sebarang bentuk politik perkauman yang sempit yang merugikan rakyat dan negeri ini  PAS mendukung Budaya Politik Matang dan Sejahtera sepanjang bergiat dalam politik di negeri ini sejak tahun 50-an lagi dengan menghormati hak dan perbezaan antara kaum dan agama.

Jentera pilihan raya PAS Selangor sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan dan tidak pernah mana-mana ahlinya disiasat apa lagi didakwa atas sebarang kesalahan yang berkaitan dengan sabotaj, mencetuskan ketegangan dan seumpamanya.

PAS pernah berada di dalam kerajaan di Negeri Selangor dari tahun 2008 – 2018 dan rekod membuktikan bahawa ahli-ahli Exco PAS, ADUN-ADUN, ahli-ahli majlis PBT, Ketua-ketua kampung dan para pegawai lantikannya semuanya telah berkhidmat kepada setiap lapisan masyarakat berbilang kaum di Selangor dengan bersih dan cemerlang.

Tidak ada seorang pun wakil PAS Selangor yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah mahupun kesalahan jenayah lain sepanjang tempoh PAS dalam kerajaan.

PAS akan sentiasa memastikan ahli-ahlinya:

1) Memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Sultan Selangor.
2) Memelihara keamanan di negeri ini dan menghormati budaya, adat dan agama kaum lain.
3) Mematuhi undang-undang dan peraturan negara dan negeri dalam setiap aktiviti dan kegiatan.  

Menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Selangor ke 15, PAS dan rakan-rakannya di Selangor akan menjunjung amalan dan proses demokrasi dan akan terus bekerja meyakinkan rakyat negeri ini agar membawa perubahan ke arah kebaikan buat negeri ini.

DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
Jumaat 
27 Januari 2023/ 5 Rejab 1444 – HARAKAHDAILY 27/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -