Negara OIC perlu bersatu pertahan kesucian Islam

Isu bakar al-Quran

- Advertisement -

SAYA mengamati berita berkenaan agenda Islamofobia dan perbuatan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di Stockholm, Sabtu lalu dan diikuti tindakan Ketua Kumpulan Pelampau Belanda, Pegida Edwin Wagensveld bertindak mengoyakkan al-Quran ketika melakukan protes di luar Parlimen di The Hague, Belanda. Tindakan mereka ini mengundang reaksi oleh ramai pihak di kalangan komuniti Islam yang mengecam tindakan tersebut.

Bahkan, saya suka ingin memetik kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata bahawa tindakan itu sewajarnya dikutuk dan dikecam, bukan saja oleh negara umat Islam, malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian.

Gelombang kebencian terhadap Islam secara terang-terangan seperti ini telah banyak kali timbul di media massa dalam dekad ini. Sebagai contoh, pada tahun 2020, sebuah majalah satira Charlie Hebdo di Perancis menyiar semula karikatur penghinaan terhadap Nabi sempena bermula pembicaraan ke atas mereka yang dituduh terlibat dalam serangan pejabat majalah tersebut sebelum ini. 

Manakala, pada Jun 2022, jurucakap parti BJP, Nupur Sharma didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W dan isteri Baginda, Saiditina Aishah menerusi debat televisyen. Pada tahun 2019 pula, seorang Senator Australia, Fraser Anning mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan program imigresen dan Islam sebagai punca serangan di Christchurch, New Zealand pada Mac 2019 sekali lagi menimbulkan kemarahan orang ramai.

Insiden-insiden yang disebut ini adalah contoh bagaimana siri-siri penghinaan Islam terus berlaku. Lebih menyedihkan, walaupun penganut agama Islam yang dianggarkan sudah mencapai 1.2 bilion orang ketika ini, namun, tidak banyak tindakan konkrit yang telah dibuat oleh ramai pihak di kalangan penganut agama Islam. 

Saya ingin menggesa Pertubuhan Negara-negara Islam atau OIC untuk mengeluarkan kenyataan bersama dalam mengecam tindakan menghina Islam oleh banyak pihak. Bahkan, OIC boleh mempertimbangkan agar menghantar nota bantahan secara diplomatik kepada negara-negara yang membenarkan penghinaan ini dilakukan. Dengan tindakan-tindakan tegas yang dicadangkan ini, saya melahirkan harapan agar tiada pihak berani bertindak sedemikian lagi selepas ini.

“Malaysia Sejahtera”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 27/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -