Lebih 12,000 mangsa banjir berlindung di PPS

Foto daripada Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 12,090 mangsa banjir di empat negeri terjejas dengan bencana itu kini ditempatkan di 84 pusat pemindahan sementara setakat 8 pagi ini.

- Advertisement -

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 6,843 orang daripada 2,412 keluarga dan semuanya ditempatkan di 29 PPS di lima daerah, berbanding 6,394 mangsa daripada 2,281 keluarga malam tadi.

Mangsa banjir teramai adalah di Kota Marudu dengan 4,789 orang daripada 1,731 keluarga ditempatkan di 12 PPS di daerah tersebut.

“Seramai 1,201 orang daripada 453 keluarga ditempatkan di lima PPS di Pitas, 720 mangsa daripada 199 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan dan angka ini dijangka meningkat manakala di empat daerah lain dijangka kekal,” menurut kenyataan JPBN.

Selain itu, mangsa banjir di Tawau dan Telupid yang merupakan daerah baharu terjejas bencana alam tersebut masing-masing berjumlah 109 orang dan 24 orang.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 4,868 orang berbanding 4,575 mangsa malam tadi dengan Tangkak menjadi daerah kelapan dilanda banjir.

JPBN memaklumkan secara keseluruhan terdapat 50 PPS beroperasi setakat ini, susulan pertambahan masing-masing satu PPS di Tangkak dan Batu Pahat.

Mersing kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,793 orang, diikuti Kluang (1,173), Kota Tinggi (900), Segamat (490), Batu Pahat (358), Muar (121), Pontian (18) dan Tangkak (15).

Sementara itu, empat sungai di negeri ini masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat dengan bacaan 19.08 meter (m); Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.43m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.42m) dan Sungai Endau, Mersing (2.83m).

Sementara itu, JPBN PAHANG melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin pagi ini kekal 323 orang daripada 97 keluarga dengan tiga PPS masih beroperasi iaitu PPS Kampung Setajam yang menempatkan 161 orang; PPS Balai Raya Rekoh (122) dan PPS Balai Raya Bukit Lepas (40).

Sungai Keratong di Rompin masih melepasi paras bahaya 23m apabila mencatatkan bacaan 24.76m  pagi ini, dengan trend menurun, menurut JPBN.

Jumlah mangsa banjir di SARAWAK juga kekal 56 orang daripada 17 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak manakala paras air di beberapa kawasan di Sarikei, Lawas dan Sibu dilaporkan meningkat. – BERNAMA

- Advertisement -