Kecelaruan mental Nur Jazlan perlu terapi pakar

- Advertisement -

KASIHAN melihat politikus seperti Dato’ Nur Jazlan Mohamed yang seakan hilang punca dan belum kebah dari demam kekalahan PRU. Pasca PRU14 lagi, setelah kalah di kerusi P.161 Parlimen Pulai dan Umno-BN juga tersembam dari singgahsana Putrajaya setelah lebih setengah abad berkuasa, beliau antara yang banyak bercakap.

Malangnya, ulasan beliau banyak yang songsang dan dangkal, serta hanya memperlihatkan beliau seakan-akan sedang menghidapi ‘mental disorder’. Cakapnya tidak berfaedah, bahkan layak dikata merapu dan meraban kerana lebih kepada melepas perasaan yang merengsa kerana telah kehilangan dan tidak tercapai sesuatu.

Dari dunia korporatnya yang mungkin gemilang, beliau terjun sepenuhnya ke dunia politik dan dengan segera kelihatan mahu mendaki tangga takhta Umno. Sedangkan ketika itu kapal Umno sudah banyak kerosakannya, tetapi Nur Jazlan punyai keghairahan besar kononnya mahu melakukan perubahan.

Namun, mungkin ‘penyesalan’ yang lebih banyak dikendongnya dan pencapaian pula bertabur keciciran hingga menyebabkan hilang kewarasan dan kebijaksanaan. Semua orang diserangnya dengan memberi markah lemah, gagal dan buruk, tetapi beliau sendiri berada dalam kedudukan tewas.

Lancangnya Nur Jazlan melabel lawan bahkan kawan sendiri dengan pelbagai perkataan jelik, beliau seperti tidak sedar diri sudah macam pencacai. Beliau hanya menyerlahkan kebodohan dan keangkuhan dari kebebasan menulis ulasan politik di Facebook atau yang tersiar di media. 

Hinggakan tidak sedikit orang dicerca, diperlekeh dan dicabarnya, walhal dia sendiri tanpa punya sebarang reputasi lagi melainkan nostalgia-nostalgia lama yang mungkin dikhayalnya. Yang kelihatan ‘senget’, prejudis, keterlaluan, angkat bakul dan ‘syok sendiri’ setiap kali beliau membuka mulut.

Hujung Jun tahun lalu, Nur Jazlan sendiri mengumumkan ketegasan beliau tidak akan bertanding PRU15 kerana tahu akan kalah. Bagaimanapun, beliau tiba-tiba bertanding dengan mempertaruhkan bahawa beliau pernah tiga penggal mewakili Parlimen Pulai dengan ‘track record’ cemerlang.

Lucu sekali beliau yang telah mengadakan congakan dari pengalaman sebagai akauntan dan yakin akan kalah, tiba-tiba bertanding dengan meletakkan markah diri sendiri kononnya pernah memiliki rekod cemerlang. Tetapi sayang sekali, pengundi Pulai tetap menolak Nur Jazlan.

Apa yang patut Nur Jazlan sedar, pengundi bukan sahaja menolak Umno-BN di Pulai, tetapi juga seluruh Negeri Johor dan Malaysia. Umno-BN mencatat perolehan kerusi paling sedikit dalam sejarahnya. Umno-BN kini hanya kerana bertumpangan menjadi kerajaan bersama PH.

Kesian, dengan begitu banyak kehilangan dan keciciran itu, serta ‘cemerlang’ beliau tidak dipandang serta partinya kekal ditolak, Nur Jazlan masih bersentimental merasa ada kekuatan. Beliau bukan sahaja dilihat tidak dapat menerima hakikat, bahkan ‘sakit’ dihidapinya nampak semakin menjadi-jadi.

Antara ulasannya selepas PRU15 adalah keputusan Umno-BN tidak bersama PN, sebaliknya bersama PH itu tepat. Kerana menurutnya Umno akan menjadi semakin kuat dengan bersama PH, sebaliknya akan terus lemah jika bersama PN. Biarlah masa memperlihatkan ‘analisis atau ramalan’ Nur Jazlan itu.

Jika Nur Jazlan tidak dapat menilai diri atau bercermin dengan meneroka semula segala kata-kata pernah dihamburnya kepada pelbagai pihak, ketahuilah bahawa ramai sedang mentertawakan anda yang terang bersuluh bagaikan meludah ke langit dan menjilat kahak sendiri.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 27/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -