Tindakan ekstrem ahli politik Sweden dikecam

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kedah mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang ekstrem dan tidak bermoral oleh Rasmus Paludan, ahli politik di Sweden yang telah bertindak membakar naskhah al-Quran dalam protesnya terhadap Turkiye.

Tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku. Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam. Lebih mendukacitakan adalah reaksi Kerajaan Sweden lebih bimbangkan keganasan yang bakal tercetus selepas insiden tersebut, bukan sebaliknya mencegah langkah membakar al-Quran itu terlebih dahulu. 

Pemuda PAS Kedah mendukung penuh kenyataan DPPM dalam menyeru dan menggesa pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta seluruh gerakan Islam dan umat Islam di seluruh dunia, untuk mengecam tindakan Islamofobik ini. Ini bertujuan mewujudkan tekanan kepada Kerajaan Sweden agar mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrem ini serta sebagai tanda solidariti dan kesatuan umat Islam mempertahankan maruah umat Islam.

Pemuda PAS Kedah juga menggesa Kerajaan Malaysia agar memanggil Duta Besar Sweden ke Malaysia untuk memberikan penjelasan Kerajaan Sweden berhubung tindakan Sweden terhadap Rasmus Paludan. Pemuda PAS Kedah juga menggesa agar Kerajaan Sweden mengenakan tindakan tegas terhadap beliau sesuai dengan kesalahan jahat yang telah beliau lakukan.

Kerajaan wajib untuk menyuarakan amaran yang tegas ini melalui jalan diplomatik yang boleh dilakukan. Sebagai negara Islam, kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam.

USTAZ NASRUN OTHMAN
Timbalan Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 26/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -