Rakyat bosan dengan jawapan menteri-menteri kerajaan PH

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sudah bosan dengan jawapan yang diberikan menteri-menteri dalam kabinet kerajaan berkaitan cara mengatasi masalah kenaikan harga barangan keperluan sejak mutakhir ini.

Begitu hujah Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff dalam mempersoalkan tentang tindakan menteri-menteri berkaitan dalam menggerakkan agensi-agensi kerajaan untuk memantau dan memastikan harga barangan tidak berterusan naik begitu sahaja.

- Advertisement -

“Sehingga kini, rakyat sudah bosan dengan jawapan menteri-menteri yang berkenaan. Apa yang rakyat mahukan adalah harga barangan akan turun atau sekurang-kurangnya tidak berterusan naik,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Tambah beliau, kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk makanan mentah sejak akhir-akhir ini sepatutnya mampu dikawal oleh kerajaan perpaduan yang didakwa mempunyai kedudukan kukuh untuk berbuat demikian.

“Rakyat di Malaysia masih menunggu apakah formula terbaik yang akan diguna pakai oleh kerajaan perpaduan bagi mengurangkan kos sara hidup mereka,” ujarnya.

Bulan Ramadan kian hampir

Lebih parah, kenaikan harga barangan terutama barangan keperluan harian untuk rutin kehidupan seharian  itu bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat dalam kumpulan B40, bahkan menyebabkan golongan M40 turut sama terbabit.

Menurut beliau, sehingga kini, krisis bekalan telur ayam dan minyak masak berpaket masih lagi membelenggu pengguna apabila ia masih sukar didapati di pasaran di seluruh negara.

Situasi itu, ujarnya, telah menyebabkan pengguna terbeban, ditambah pula dengan sikap segelintir peruncit yang bertindak mengehadkan jualan selain mengenakan harga jualan yang mahal.

Sehubungan itu, Wan Martina turut memberitahu bahawa tidak sampai dua bulan sahaja lagi umat Islam yang berada di Malaysia akan menyambut ketibaan Ramadan. 

“Bagaimanakah usahawan-usahawan di bazar mahu berniaga (pada bulan Ramadan)  jika kos barangan asas tinggi; dan sudah semestinya harga jualan juga akan dinaikkan?. 

“Menjelang ketibaan Hari Raya Aidil Fitri pula, bukan sahaja rakyat bimbang barangan keperluan yang semakin meningkat tetapi juga mereka bimbang bekalan makanan asas seperti telur yang sukar untuk didapati di pasaran,” tegas beliau lagi. 

Mekanisme subsidi bersasar tinggal janji

Beliau berkata, harga barangan sebenarnya boleh dikawal dan kerajaan berada di kedudukan yang kukuh untuk melaksanakan sesuatu. 

“Tahun 2023 merupakan tahun yang mencabar bagi rakyat di Malaysia yang  mana rakyat baru sahaja  mula bertatih bangkit dari cabaran pandemik Covid-19, perubahan cuaca ekstrem, nilai ringgit yang rendah dan ekonomi dunia yang lembab,” katanya.

Menurut beliau, rakyat justeru kini menanti-nanti di manakah gerangannya mekanisme subsidi bersasar dilaksanakan seperti yang dijanjikan menerusi ‘segunung harapan’ sebelum ini oleh kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Dengan demikian, kerajaan perlu pantas mencari formula yang tuntas untuk membantu rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2023

- Advertisement -