Penemuan baharu bukti nahas MH17 akan didedahkan 8 Feb ini

- Advertisement -

THE HAGUE: Penyiasat antarabangsa pada 8 Feb ini akan mendedahkan hasil siasatan terhadap ‘pihak lain’ yang terlibat dalam kes menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 dalam kejadian pada 2014, selepas tiga orang didapati bersalah tahun lepas.

Penemuan itu dijangka menyelesaikan penyelidikan yang dilakukan dalam proses siasatan selama ini, tentang siapa sebenarnya dalang yang mengarahkan peluru berpandu itu ditembak ke arah pesawat berkenaan di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, dan pihak yang pada asalnya terlibat dalam membekalkan peluru berpandu buatan Rusia itu.

- Advertisement -

Seorang warga Rusia dan Ukraine masing-masing pada Nov lalu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kehadiran mereka oleh mahkamah Belanda sabit kesalahan membunuh kesemua yang berada dalam pesawat berkenaan.

Namun, kedua-duanya didapati bukan penyebab tembakan peluru berpandu itu dilepaskan, tetapi hanya dikaitkan dengan peranan membantu membawa peluru berpandu ke Ukraine.

Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) dalam kenyataannya pada Khamis (26 Jan) berkata, dalam sidang akhbar di The Hague yang dijadualkan menjelang 8 Feb ini, penyiasat akan mendedahkan ‘hasil siasatan yang sedang dijalankan terhadap pihak lain yang terlibat dalam penembakan jatuh pesawat MH17’, lapor AFP.

“Saudara-mara mangsa akan dimaklumkan terlebih dahulu,” ujar kenyataan JIT yang ahlinya adalah ahli dari  Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine – negara yang paling paling terjejas teruk akibat insiden berkenaan.

“Selain penglibatan DPR (Republik Rakyat Donetsk), JIT juga mengesyaki dan melakukan siasatan terhadap  anak kapal Buk-Telar dan mereka yang bertanggungjawab membekalkan sistem senjata Rusia  yang terbabit menyebabkan MH17 musnah ditembak peluru berpandu terbabit,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, hakim dalam perbicaraan mahkamah Belanda mendapati bahawa dua warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky; serta Leonid Kharchenko dari Ukraine adalah ahli DPR pemisah, dan kumpulan itu didakwa dikawal oleh Moscow.

Hakim tersebut bagaimanapun berkata tidak jelas siapakah yang sebenarnya mengendalikan sistem peluru berpandu BUK ketika pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh.

Kesemua 298 terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal yang berada di dalam pesawat malang itu terbunuh apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah Ukraine.

Mangsa insiden menyayat hati itu membabitkan 10 buah negara termasuk 196 dari Belanda, 44 warga Malaysia dan 38 warga Australia, selain rakyat Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Rusia telah menafikan sebarang penglibatan dalam insiden itu, atau sebarang kaitan dalam mengawal kumpulan pemisah berkenaan.

Hakim hak asasi Eropah di Strasbourg pada Isnin (16 Jan) secara berasingan memutuskan bahawa kebanyakan aduan yang dikemukakan oleh Belanda mengenai MH17 boleh diterima. – HARAKAHDAILY 26/1/2023

- Advertisement -