Pekerja ladang didakwa membunuh 7 orang di California

Chunli Zhao ketika ditahan selepas menyerah diri kepada polis.
- Advertisement -

HALF MOON BAY: Seorang pekerja ladang menghadapi lapan pertuduhan dalam kejadian tembakan yang mengorbankan tujuh orang dengan sebahagian mangsa adalah rakan sekerjanya, Isnin lalu.

Pendakwa Raya Daerah San Mateo mendakwa Chunli Zhao, 66, suspek tunggal dalam pembunuhan beramai-ramai di dua ladang cendawan di bandar berhampiran San Francisco, dengan tujuh pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan cubaan membunuh di Mahkamah Agung San Mateo County, Redwood City.

Zhao didakwa dengan “keadaan khas” dan dituduh “secara peribadi dan sengaja” menembak untuk membunuh.

- Advertisement -

Semalam, Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris, merancang untuk pergi ke Monterey Park di pinggir bandar Los Angeles, tempat kejadian tembakan pertama, baru-baru ini.

Beliau dijangka bertemu beberapa keluarga daripada 11 orang yang maut ditembak di dewan tarian pada Sabtu lalu oleh seorang lelaki bersenjata yang kemudian membunuh dirinya sendiri.

Dua kejadian keganasan senjata api yang paling banyak meragut nyawa berlaku di California, antara negeri yang mempunyai undang-undang senjata api paling ketat di Amerika Syarikat.

Zhao ditahan di luar balai polis, petang Isnin lalu. Namun motif tembakan masih tidak jelas. Dia diambil bekerja oleh pemilik ladang cendawan dan menetap di situ bersama beberapa pekerja lain.

Pihak berkuasa berkata, bukti awal menunjukkan pertumpahan darah itu berpunca daripada masalah di tempat kerja. Tempat kejadian jenayah kedua juga sebuah ladang cendawan di kawasan berhampiran.

Half Moon Bay yang mempunyai kira-kira 12,000 penduduk di selatan San Francisco adalah lokasi pusat peranginan mewah dan komuniti petani berpendapatan rendah.

Ladang cendawan yang menjadi lokasi tembakan meragut tujuh nyawa.

Kejadian tembakan ini mendedahkan kesusahan yang dihadapi pekerja ladang di kawasan itu, kebanyakan pendatang dari Amerika Latin dan Asia yang tinggal di kawasan tidak terurus dan bekerja berjam-jam dalam keadaan teruk dengan gaji rendah.

Koroner Daerah San Mateo menamakan enam daripada tujuh mangsa yang maut sebagai Yetao Bing, Qizhong Cheng, Jingzhi Lu, Zhishen Liu, Aixiang Zhang, Jose Romero dan Marciano Martinez Jimenez yang berumur antara 43 hingga 73 tahun.

Abang Jose Romero, Pedro turut cedera dalam serangan itu dan dimasukkan ke hospital, kata sepupunya, Jose Juarez kepada Reuters. Juarez berkata, adik-beradik itu berhijrah dari Mexico dan bekerja di ladang cendawan itu.

Dua hari sebelum kejadian tembakan itu, seorang lelaki bersenjata lain di Monterey Park melepaskan tembakan di sebuah kelab tarian yang kebanyakan dikunjungi oleh pelanggan warga emas keturunan Asia.

Seramai 11 orang maut dan sembilan cedera dalam kejadian itu, Sabtu lalu yang pada mulanya disangka sebagai bunga api kerana kebanyakan masyarakat Asia-Amerika sedang menyambut Tahun Baru Cina. Keesokan paginya, lelaki bersenjata terbabit membunuh diri ketika anggota polis mendekatinya di selatan Los Angeles. – REUTERS

- Advertisement -