Op Khas: Kesalahan penunggang motosikal menurun

Foto daripada Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesalahan membabitkan penunggang motosikal mencatatkan penurunan sepanjang empat hari penguatkuasaan Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina berbanding tempoh sama tahun lepas

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata penurunan yang besar melibatkan kesalahan tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.

Beliau berkata sepanjang empat hari operasi, sebanyak 236 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu berbanding 1,130 dalam tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, 251 saman dikeluarkan kerana lesen kenderaan motor tamat tempoh berbanding 1,214 pada tahun lepas.

“Penurunan ini menunjukkan penunggang motosikal di Kuala Lumpur telah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap undang-undang jalan raya dan ia layak dipuji,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Op Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi di sini malam tadi.

Mengulas mengenai operasi malam ini, Mohd Zaki berkata pihaknya mengeluarkan 164 saman atas pelbagai kesalahan serta masing-masing empat notis melibatkan sitaan, arah periksa dan larangan penggunaan kenderaan.

“Operasi malam ini melibatkan anggota JPJ Kuala Lumpur bersama Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Imigresen melibatkan jumlah keseluruhan 93 anggota,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -