Malaysia Madani perlu agih peruntukan secara adil

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Malaysia Madani yang dicetus oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sepatutnya diterjemahkan dengan memastikan semua Ahli Parlimen dapat berperanan dengan berkesan.

Antaranya menyalur peruntukan kepada 74 Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) seperti yang dinikmati wakil rakyat kerajaan sekarang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sepatutnya selepas Ahli Parlimen mengangkat sumpah, peruntukan disediakan kepada mereka untuk melaksanakan tugas kepada rakyat.

Katanya, wakil rakyat perlu ada pejabat Pusat Khidmat Masyarakat bagi membolehkan dapat memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada masyarakat.

“Wakil rakyat terpaksa berdepan dengan penduduk yang datang mendapatkan bantuan kewangan dan sebagainya. Selain itu, projek kemudahan asas untuk manfaat masyarakat setempat.

“Peruntukan harus diberi kepada semua wakil rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat. Kalau kita lihat manifesto Pakatan Harapan (PH), mereka berjanji untuk memberi peruntukan secara adil,” katanya di sini.

Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati semula sebagai negara makmur berteraskan enam teras utama.

Enam teras itu ialah kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Awal tahun ini, Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, mendedahkan bahawa kerajaan PH-BN menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat yang menyokong kerajaan.

Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang berkata, janji yang tertera pada manifesto PH untuk memberi peruntukan secara adil perlu ditunaikan dan bukan sekadar janji.

“Tidak perlu sehingga terpaksa membuat perjanjian seperti kerajaan sebelum ini, sehingga ada perjanjian antara kerajaan dan pembangkang untuk pengagihan yang saksama.

“Peruntukan tersebut di peringkat negeri di bawah Menteri Besar dan kalau di Parlimen, peruntukan di bawah Perdana Menteri,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor. – HARAKAHDAILY 26/1/23

- Advertisement -