Lebih 6,600 mangsa banjir dipindah di 4 negeri

- Advertisement -

KUANTAN: Sehingga jam 10.30 pagi tadi masih terdapat seramai 6,641 mangsa banjir daripada 1911 keluarga dipindahkan ke 69 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di empat negeri.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, paling ramai mangsa banjir dipindahkan di Johor iaitu 5,333 orang yang melibatkan 1,464 keluarga ditempatkan di 55 PPS.

- Advertisement -

Sabah pula lapan PPS dibuka menempatkan 966 penduduk daripada 346 keluarga dan di Sarawak 56 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Manakala di Pahang seramai 286 mangsa banjir daripada 84 keluarga dipindahkan ke empat PPS.

Mangsa banjir terbabit ditempatkan di PPS Balairaya Bandar Perwira Jaya (7 orang), PPS Kampung Setajam (117) dan Balairaya Bukit Lepas (40).

Adun Ibam, Nazri Ahmad dan Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Abdul Khalib Abdullah turut melawat mangsa banjir di PPS Perwira Jaya semalam.

Nazri berkata, penduduk yang tinggal di kawasan rendah hendaklah bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus meningkat.

Katanya, jambatan gantung yang menjadi laluan utama penduduk di Kampung Rekoh hampir roboh akibat dilanda arus deras.

“Kami meninjau keadaan banjir bersama Tok Empat Kampung Rekoh, Encik Said. Hujan masih belum menunjukkan tanda-tanda hendak reda. Semoga Allah permudahkan segala urusan insyaAllah,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau bersama Tok Empat, Ketua Balai Polis Bandar Tun Razak Sarjan Mejar KamarulZaman dan penduduk bersarapan selepas meninjau jambatan Kampung Rekoh yang ditenggelami banjir.

Pada sebelah petang Adun Ibam turut meninjau PPS Perwira Jaya yang menempatkan dua keluarga yang dipindahkan Dari Kampung Baru Perwira Jaya. – HARAKAHDAILY 26/1/23

- Advertisement -