Kurangkan tempoh haji: Risiko ‘malapetaka’ logistik

Musim haji akan datang bakal diiringi cuaca panas dan kering di Makkah dan Madinah. (FOTO: Saudi Gazette)
- Advertisement -

Peningkatan kos untuk menunaikan ibadat haji bagi jemaah Malaysia merupakan isu yang sering ‘riuh’ berkumandang saban tahun.

Setakat Januari 2023, menurut Pengarah Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, kos menunaikan haji bagi setiap seorang jemaah dianggarkan bakal mencecah RM31,000.

Ia menunjukkan peningkatan hampir 10 peratus (sebanyak RM2,368) berbanding RM28,632 kos haji setiap jemaah pada 2022.

- Advertisement -

Sementara, kos haji yang bakal diserap oleh TH terutamanya bagi kumpulan B40 akan meningkat kepada 65 peratus daripada kos haji sebenar (berbanding 62 peratus pada 2022). 

Ini bermakna bahawa bagi setiap ringgit yang dikeluarkan oleh jemaah muassasah (RM10,980), TH terpaksa menampung kos sebenar haji hampir dua kali ganda (RM20,020).

Justeru, pelbagai kaedah dan seruan telah diwacanakan sebagai kaedah untuk merealisasikan pengurangan kos haji jemaah tempatan.

Namun begitu, seruan yang dilihat konsisten diutarakan saban tahun ialah cadangan agar bilangan hari untuk pakej haji dipendekkan.

Buat masa ini, rata-rata jemaah haji Malaysia bakal berada di Tanah Suci Mekah selama 35 hingga 60 hari. Sementara cadangan yang sering diutarakan ialah  bilangan hari tersebut disingkatkan menjadi 20 hari atau kurang 30 hari.

Kuota haji tambahan

Walaupun cadangan sebegini sekali imbasnya kedengaran logik, namun kos haji tidak boleh dikurangkan secara signifikan dengan semudah memendekkan bilangan hari di tanah suci.

Tempoh 35 hingga 60 hari  di Tanah Suci sebenarnya sangat sesuai dengan profil jemaah haji Malaysia sebelum ini yang berjumlah kira-kira 30,000 orang (manakala untuk tahun 2023, Malaysia telah menerima kuota haji sebanyak 31,600 jemaah).

Namun begitu, kita juga perlu mengambil kira akan kemungkinan menerima kuota haji tambahan seperti yang berlaku pada tahun 2017 apabila kerajaan Arab Saudi menaikkan kuota haji Malaysia sehingga 42,200 orang.

Bahkan, pemendekan tempoh kerja haji bakal memberikan implikasi besar terhadap pengurusan logistik TH.

Sebagai contoh, satu penerbangan dijangkakan boleh membawa 250 hingga 300 jemaah. Maka, penerbangan ke Tanah Suci memerlukan kira-kira 100 penerbangan (biasanya disebut KT iaitu Kapal Terbang) yang biasanya bermula seawal 40 hari sebelum hari wuquf.

Mengikut perhitungan mudah, pada setiap hari, selama 35 hingga 40 hari, antara dua hingga  tiga KT akan berlepas ke Tanah Suci. Ini mewakili pertambahan kira-kira 1,000 jemaah sehari sehinggalah hari kemuncak apabila kesemua 30,000 jemaah haji Malaysia selamat berada di Mekah.

Untuk setiap KT pula, dengan anggaran setiap bas yang membawa 40 penumpang, maka satu KT memerlukan tujuh atau lapan bas bagi sekali pergerakan. Maka, 30,000 jemaah bersamaan 700 hingga  800 buah bas – mobilisasi yang tentu sekali bukan kecil jumlahnya.

Begitu juga dengan penerbangan pulang ke tanah air (seawal 15 Zulhijah sehingga 15 Muharam). Lebih 100 penerbangan pergi dan 100 penerbangan balik yang perlu disusun dari segi sewaan pesawat, kemampuan juruterbang, anak-anak kapal, petugas teknikal serta  petugas TH di lapangan, sama ada di Malaysia apatah lagi di Arab Saudi.

Malahan, setiap negara yang mendapat kuota haji dari kerajaan Saudi juga mempunyai kuota ‘mendarat’ dan ‘berlepas’ yang tidak boleh melebihi kekerapan tertentu setiap hari. Makanya, aturan sedia ada merupakan aturan yang sangat-sangat munasabah dari segi saiz jemaah dan kapasiti TH untuk mengurus.

‘Malapetaka’ logistik

Bayangkan jika jumlah hari untuk pakej haji dikurangkan misalnya dari 40 hari ke 20 hari atau 60 hari ke 30 hari, pelbagai kesukaran lain pula akan timbul. 

Semua urusan logistik yang biasanya diuruskan sebanyak dua atau tiga kali sehari, kini bakal mencecah sehingga lima atau enam kali sehari.

Sebagai contohnya, urusan ‘city check in’ yang merujuk kepada aktiviti melibatkan penghantaran kargo jemaah haji untuk pulang ke Malaysia. 

Semua kargo ini dikumpulkan di hotel jemaah haji Malaysia dan terus dihantar ke lapangan terbang Jeddah terlebih dahulu sebelum jemaah haji tiba di lapangan terbang  berkenaan, beberapa jam kemudian untuk pulang ke tanah air.

Urusan ‘city check in’ ini boleh menjadi satu ‘malapetaka’ logistik jika tidak diuruskan dengan tuntas, apatah lagi jika ditambah kekerapannya apabila jumlah hari untuk pakej haji dikurangkan.

Sebagaimana musim balik raya di Malaysia, kita boleh rumuskan tempoh 1 sehingga 20 Zulhijah merupakan tempoh kemuncak sekiranya kita ingin ‘balik kampung.’ Sudah tentu harga tiket penerbangannya mencanak naik. 

Begitu juga dengan cadangan memendekkan tempoh haji kepada bulan puncak yang bakal menaikkan kos penginapan dan logistik pengurusan jemaah haji.

Malahan, itu pun belum dikira jumlah pengangkutan bas, sewaan dan logistik lain, yang kesemuanya perlu didarab dua atau tiga kali ganda.

Jika diteliti dari sudut kos penginapan pula, kos sewa hotel untuk musim haji sebenarnya sudah cukup kompetitif kerana TH telah membayar sewa pajakan sekali gus, misalnya untuk tempoh tiga bulan.

Jika hotel disewa untuk sebulan sahaja, ini bakal merugikan pemilik hotel kerana pemilik hotel terpaksa mencari penyewa bagi hari-hari yang tiada jemaah haji selepas selesai ibadat haji.

Dalam erti kata lain, aturan menyewa hotel selama tiga bulan sekali gus lebih mudah dan selamat untuk jemaah haji Malaysia.

Aturan logistik ini juga bersesuaian sekiranya berlaku kes-kes luar jangka seperti penangguhan (atau pembatalan) pesawat penerbangan balik di atas pelbagai masalah teknikal. 

Ini menyebabkan jemaah haji terpaksa tinggal di Tanah Suci lebih lama, ada kalanya selama seminggu untuk menunggu pesawat baharu. Tentu sekali jemaah haji boleh tinggal di hotel yang sememangnya sudah disewa oleh TH.

Selain itu, sudah tentunya TH memperolehi kadar sewaan harian selama tiga bulan pada harga yang lebih murah sekiranya tempohnya dipendekkan sehingga sebulan.

Neraca istito’ah

Walau bagaimanapun, penyingkatan tempoh kerja haji pada hakikatnya tidak memberikan kesan ketara ke atas kos makan dan minum jemaah haji Malaysia kerana penghasilan makanan dijalankan secara pukal dari dapur pusat (central kitchen).

Sebagai ilustrasi, dengan aturan makanan dua kali sehari dengan kualiti masakan tertentu, kosnya kira-kira RM10 sehari. 

Justeru, dalam tempoh 10 hari, kos makanan seorang jemaah dianggarkan sekitar RM100. Kalau 20 hari sekalipun kos makanan seorang jemaah hanyalah sekitar RM200 yang tidak memberikan kesan besar dari sudut kos haji secara keseluruhan.

Ini bermakna cadangan mengurangkan bilangan hari di tanah suci bukan sahaja tidak mengurangkan kos haji, malah mungkin boleh menambahkan kos, terutama untuk menguruskan logistik di waktu puncak.

Terdapat satu cara yang boleh mengurangkan kos haji dengan drastik dan telah pun dipraktikkan oleh jemaah haji negara lain seperti Indonesia, Pakistan, dan India, iaitu dengan menyewa hotel yang jaraknya lebih jauh (antara 5 hingga 10 kilometer) dari Masjidil Haram.

Natijahnya, kadar sewa hotel memang akan bakal menjadi murah secara drastik. Penyewaan hotel sebegini boleh mengurangkan kos haji melebihi separuh. Begitu juga dengan aturannya di Madinah.

Namun begitu, kedudukan hotel yang jauh ini bakal menyukarkan jemaah haji Malaysia untuk ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Sedangkan buat masa ini rata-rata jarak hotel jemaah Malaysia hanyalah sekitar 1km dari Masjidil Haram.

Kendatipun begitu, sekiranya jarak hotel melebihi 5km, TH terpaksa menampung satu lagi kos logistik: pengangkutan pergi-balik ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. 

Tentu sekali memilih hotel yang jauh dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi juga bukanlah penyelesaian yang diingini oleh jemaah haji Malaysia, jika semata-mata mengharapkan kos haji yang murah.

Namun, adalah satu perkara yang tidak munasabah jika kita mengharapkan TH menyediakan pakej berbeza-beza untuk keseluruhan jemaah haji Malaysia.

Contohnya, dengan mengenakan kos haji untuk seorang jemaah yang menginginkan pakej yang murah dengan menginap di hotel pada jarak yang jauh daripada Masjidil Haram; dan sebaliknya pakej lebih mahal untuk penginapan hotel yang berhampiran Mekah.

Pada hakikatnya, panduan ibadat haji telah diberikan dalam syariat. Pertimbangan utama ialah berkemampuan atau istito’ah. Maka neraca kemudahan dan fasiliti jemaah haji perlulah dipertimbang berdasarkan neraca istito’ah.

Hakikatnya, TH perlu mengekalkan fokus untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia tanpa berkompromi soal kualiti. Sebarang perbincangan untuk mengurangkan kos haji memerlukan satu kajian spesifik yang tidak melibatkan usaha untuk menjejaskan kualiti perkhidmatan TH.

Data menunjukkan kos haji sentiasa meningkat saban tahun dan perkara ini merupakan realiti yang perlu dihadapi oleh bakal jemaah haji secara realistik dan tidak seharusnya mengharapkan kepada subsidi TH semata-mata.

DR. MOHAMED HADI ABDUL HAMID (Felo Elite di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya) & DR. ZAIDI MD. ZABRI (Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya). – HARAKAHDAILY 26/1/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -