Hoki Piala Dunia: Afrika Selatan hampakan Malaysia 6-3

Pemain Malaysia tidak dapat menandingi ketangkasan Afrika Selatan.
- Advertisement -

Mengecewakan apabila Malaysia kini terpaksa bertarung untuk klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16 selepas tumbang 3-6 kepada Afrika Selatan dalam pertandingan hoki Piala Dunia di Stadium Birsa Munda, India hari ini.

Malaysia yang sebelum ini tewas dalam penentuan pukulan penalti kepada Sepanyol untuk slot suku akhir akan menentang Jepun atau India.

- Advertisement -

Dalam aksi klasifikasi ke-9-16 hari ini, Afrika Selatan tampil menyerang sejak awal permainan dan mengasak pertahanan negara.

Usaha itu membuahkan hasil apabila berjaya memecah kebuntuan melalui jaringan pendahuluan pada minit ke-8 menerusi jaringan padang Bradley Sherwood.

Afrika Selatan menggandakan jaringan pada suku kedua menerusi pukulan sudut penalti Guy Morgan sebelum Nqobile Ntuli menjaringkan gol padang.

Malaysia yang tertinggal jauh bangkit pada suku ketiga dan berjaya mendapatkan gol pertama melalui pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-34.

Namun, Afrika Selatan membalas untuk kembali jauh di hadapan apabila Keenan Horne menjaringkan gol padang pada minit ke-42 diikuti pukulan penalti Cassiem Mustapha pada minit ke-43.

Pemain negara enggan berputus asa dan Razie Rahim menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-44 dan Muhammad Firhan Ashari menjaringkan gol padang pada minit ke-56 untuk kembali memberikan harapan kepada Malaysia.

Namun Afrika Selatan terus menjarakkan kedudukan apabila Sherwood sekali lagi menemui jaringan pada minit ke-56.

A Arulselvaraj hampa dengan kekalahan Malaysia

Jurulatih Malaysia, A Arulselvaraj, melahirkan kekecewaan terhadap keputusan perlawanan itu.

“Saya tidak boleh melafazkan kekecewaan saya dengan kata-kata. Kita sebenarnya kalah dalam dua suku pertama lagi. Namun begitu, saya perlu mengucapkan tahniah kepada Afrika Selatan kerana berjaya mengatasi kami hari ini,” katanya.

Namun Arul berkata, sudut positif perlawanan ini ialah pukulan sudut penalti negara yang berkesan.

“Daripada enam pukulan sudut penalti, Afrika Selatan hanya berjaya menjaringkan satu gol. Kita hanya menerima dua pukulan sudut penalti dan menjaringkan satu gol,” katanya. – MHC

- Advertisement -