HAMAS iktiraf sumbangan besar TG Abdul Hadi

- Advertisement -

DOHA, Qatar: Pergerakan Pembebasan Palestin (HAMAS) mengiktiraf dan menghargai jasa besar bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam memberi keadilan kepada Palestin.

Pengerusi Biro Politik HAMAS, Ismail Haniyeh berkata, Presiden PAS itu telah memainkan peranan sangat besar dan penting dengan menyatukan gerakan Islam dan ketua-ketua kerajaan untuk membantu negara terbabit.

“Ucapan terima kasih kepada PAS dan rakyat Malaysia atas sokongan secara material dan moral membantu rakyat Palestin serta kempen pembebasan Palestin.

“Jasa kalian sangat bermakna dalam menonjolkan kekejaman Israel yang berterusan menzalimi rakyat Palestin dengan melakukan pencerobohan di kawasan penempatan serta provokosi dengan menceroboh masuk ke Masjidil Aqsa,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Terdahulu mantan Perdana Menteri Palestin itu menerima kunjungan hormat daripada PAS dan PASRelief yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi di Pejabat HAMAS, di sini.

Dalam perkembangan berbeza, Ismail turut mendoakan situasi politik di Malaysia lebih stabil.

“Saya mengikuti rapat dan memahami perkembangan politik yang sedang berlaku di Malaysia,” tambah beliau.

Turut serta dalam kunjungan hormat tersebut adalah delegasi PASRelief iaitu Pengarah, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dan Bendahari, Mohd Adram Musa serta Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhd Khidir Izaidin. – HARAKAHDAILY 26/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -