Banjir di tiga negeri bertambah buruk, mangsa meningkat

Foto daripada Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di tiga negeri iaitu Sabah, Johor dan Pahang bertambah buruk berikutan hujan berterusan menyebabkan pertambahan bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), selain Sarawak menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

- Advertisement -

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pagi ini memaklumkan keadaan hujan dijangka terus berlaku di beberapa tempat di Kudat, Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan pedalaman Sabah, selain di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat mendadak kepada 6,313 orang yang ditempatkan di 26 PPS di lima daerah setakat 8 pagi ini, berbanding 1,421 orang pada 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir teramai adalah di Kota Marudu dengan 4,784 orang daripada 1,731 keluarga yang berlindung di 11 PPS, manakala 761 orang (203 keluarga) dipindahkan ke tiga PPS di Kudat.

Selain itu, seramai 406 orang (162 keluarga) ditempatkan di empat PPS di Pitas, diikuti 344 orang (88 keluarga) di tujuh PPS di Paitan manakala Lahad Datu, yang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir mencatatkan 18 mangsa (tiga keluarga) yang berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Terusan.

Menurut kenyataan itu, 153 orang daripada 50 keluarga yang sebelum ini ditempatkan di PPS Rumah Ketua Kampung Sinasak Batu dan Surau Kampung Sibuang telah diarah berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 kerana PPS asal berisiko banjir.

Di JOHOR, angka mangsa banjir di tujuh daerah iaitu Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat dan Muar, turut mencatatkan pertambahan kepada 5,455 orang melibatkan 55 PPS setakat 8 pagi ini, berbanding 5,000 orang yang direkodkan setakat 10 malam tadi.

Menurut JPBN negeri itu, Segamat terus mencatatkan angka tertinggi mangsa seramai 1,801 orang daripada 504 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS, diikuti Kluang dengan 1,256 orang (353 keluarga) di 12 PPS dan Mersing 1,153 orang (347 keluarga) di tujuh PPS.

Di Kota Tinggi, seramai 738 orang (179 keluarga) dipindahkan ke tujuh PPS, Batu Pahat dengan 272 orang (74 keluarga) di empat PPS, Muar 217 orang (47 keluarga) di tiga PPS dan Pontian dengan 18 mangsa (empat keluarga) di satu PPS.

Sementara itu, paras air di tiga sungai di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar (di Muara Sungai Gemas) menunjukkan bacaan 19.29 meter (m), Sungai Kahang (di Kampung Contoh) (15.99 m) dan Sungai Endau (2.62 m).

Di PAHANG, mangsa banjir di Rompin yang ditempatkan di tiga PPS meningkat kepada 164 orang daripada 49 keluarga pagi ini, berbanding 138 mangsa daripada 42 keluarga malam tadi.

Sekretariat JPBN melaporkan PPS Kampung Setajam merekodkan mangsa paling ramai iaitu 117 orang diikuti PPS Balai Raya Bukit Lepas dengan 40 orang manakala baki tujuh mangsa berada di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya.

Laman web portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin direkodkan pada aras 24.75 m pagi ini, melebihi aras bahaya 23 m yang ditetapkan manakala MetMalaysia pula meramalkan hujan di Rompin sepanjang hari ini.

Sementara itu, SARAWAK menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan dua PPS dibuka yang menempatkan seramai 53 mangsa daripada 16 keluarga berikutan hujan lebat di daerah Lundu dan Sematan lewat malam tadi.

Menurut JPBN, PPS berkenaan ialah SK Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak, dengan masing-masing mencatatkan 39 dan 14 mangsa.

MetMalaysia turut meramalkan beberapa kawasan di Sarawak antaranya Kuching, Sri Aman, Betong, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang dijangka mengalami cuaca ribut petir pada sebelah petang dan malam ini. – BERNAMA

- Advertisement -