
BEIJING: Lapan orang maut, termasuk enam warga China, selepas sebuah kapal karam di perairan pantai Jepun.
Seorang diplomat China pada Khamis (26 Jan) berkata, kapal dikenali dengan nama Jin Tian, yang membawa anak kapal dari China dan Myanmar, menghantar isyarat kecemasan pada petang Selasa (24 Jan) dari kedudukan sekitar 110 kilometer di barat Kepulauan Danjo yang terpencil dan tidak berpenghuni, yang terletak di barat daya Jepun, lapor AFP.
Sementara pengawal pantai Jeju, Korea Selatan dalam kenyataannya pula berkata bahawa kapten kapal berkenaan telah menggunakan telefon satelit untuk memberitahu mereka bahawa dia dan anak kapal akan meninggalkan kapal yang karam pada awal pagi Rabu (25 Jan).
Beberapa kapal dan pesawat dari pengawal pantai dan tentera Jepun turut terlibat dalam operasi pencarian kapal malang yang membawa 13 anak kapal itu.
Tiga kapal persendirian di kawasan itu turut membantu mengambil lima daripada anak kapal yang terkandas, kata pengawal pantai Jepun.
Konsul Jeneral China di bandar Fukuoka, Lu Guijun, memberitahu penyiar tempatan, CGTN pada Khamis (26 Jan) bahawa daripada 13 orang yang ditemui, lapan telah disahkan meninggal dunia, yang mana enam daripadanya adalah orang Cina.

“Lima daripada mereka yang terselamat – termasuk empat anak kapal warga China – tidak berada dalam keadaan yang mengancam nyawa. Kami merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang malang,” katanya.
Sementara, pihak berkuasa Jepun masih belum mengesahkan jumlah mangsa yang diumumkan oleh diplomat China itu, memberitahu AFP pada Khamis (26 Jan) bahawa kenyataan yang dikeluarkan hanya boleh mengesahkan sembilan masih hilang dan daripada 13 yang ditemui, dua orang telah meninggal dunia.
“Pegawai dari misi tempatan China melawat pengawal pantai Nagasaki,” kata Konsulat Fukuoka, yang mana mereka meletakkan bunga untuk anak-anak kapal yang mati dan mengucapkan takziah.

“Mereka juga melawat mangsa yang terselamat, menyampaikan mesej daripada duta China ke Jepun, Kong Xuanyou, sambil menyediakan pakaian, makanan dan minuman,” tambah kenyataan konsulat itu.
Insiden itu berlaku ketika cuaca sejuk melanda sebahagian besar Asia, dengan suhu siang hari di beberapa pulau Jepun yang paling hampir dengan lokasi menyelamat mencecah hanya 3 darjah Celsius.
“Jin Tian seberat 6,651 tan itu didaftarkan di Hong Kong,” ujar pengawal pantai Jepun dalam kenyataan pengesahannya.
Pada tahun 2020, sebuah kapal kargo dengan 43 anak kapal dan 6,000 ekor lembu di dalamnya tenggelam di barat daya Jepun selepas terperangkap dalam taufan dengan hanya dua orang kru yang terselamat. – HARAKAHDAILY 26/1/2023