Zahid sebenarnya lebih tahu beza rasuah dan sedekah

- Advertisement -

PANDANGAN sinis yang dikemukakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap kenyataan Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang jelas mempunyai niat mengelirukan orang awam.

Di sana terdapat garis yang jelas di antara amalan rasuah dan politik wang dengan pemberian sedekah khususnya ketika kempen pilihan raya berjalan. 

Tuan Guru Tan Sri tidak pernah berdolak dalik dengan pandangannya. Apa yang dijelaskan itu telah nyata. Ia tiada kaitan dengan usaha menghalalkan amalan rasuah sebagaimana yang cuba ditohmah oleh Zahid Hamidi.

Malangnya, Zahid Hamidi sengaja memutarbelitkan kenyataan tersebut supaya mereka dapat membakulkan rasuah dan sedekah dalam satu bahagian yang sama. 

Saya berpandangan beliau sebenarnya lebih arif untuk membezakan elemen rasuah dan politik wang yang merosakkan masyarakat dengan pemberian sedekah. Namun, malangnya beliau kelihatan masih keliru dan mengelirukan orang lain. 

Saya ingin menegaskan bahawa sokongan luar biasa yang diterima PAS dan PERIKATAN NASIONAL adalah lambang keyakinan rakyat terhadap PAS dan PN serta mesej Bersih dan Stabil yang ditampilkan begitu membekas. Rakyat tidak perlu menerima sogokan untuk memilih di antara kaca dan permata. 

Bahkan ia juga menjadi simbol penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan yang gagal dalam pemerintahan 22 bulan pasca PRU14 dan skandal rasuah yang membarah dalam Barisan Nasional. 

Ini adalah fakta yang sebenarnya cuba dinafikan oleh sesetengah pemimpin PH atau BN pada hari ini. Ironinya mereka sedang berusaha untuk mewajahkan setiap tindakan PAS dan PN dalam konteks rasuah dan politik wang. Tohmahan sedemikian sebenarnya menjauhkan PH atau BN daripada realiti sebenar.

Saya juga ingin menasihatkan pemimpin PH atau BN supaya tidak menjadi ibarat seekor ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Selesaikan terlebih dahulu kes-kes rasuah yang sedang berjalan melibatkan pemimpin parti masing-masing barulah bercakap soal membanteras rasuah dalam kalangan rakyat. 

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -