Tempias kemelesetan ekonomi dunia landa Malaysia

Shahir Adnan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sehingga sekarang banyak syarikat besar di negara Barat memberhentikan ramai pekerja untuk berdepan dengan kemelesetan ekonomi dunia yang semakin menjadi kenyataan.

Baru-baru ini, Syarikat Google memberhentikan seramai 12,000 pekerja sebagai kesiapsagaan mendepani kemelesetan ekonomi dunia.

- Advertisement -

Langkah serupa juga diambil Syarikat Amazon apabila menamatkan perkhidmatan 18,000 pekerja. Begitu juga Microsoft memberhentikan 10,000 pekerja.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata terbaru syarikat permotoran Ford memberhentikan 3,000 pekerja dari Eropah dan Jerman.

Katanya, negara kuasa besar sudah menerima tempias ekoran kemelesetan ekonomi yang melanda dunia tahun ini.

“Malaysia bakal berdepan situasi sama tidak lama lagi. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak pantas mengekang situasi buruk itu daripada menimpa negara kita.

“Kerajaan perlu memperkasa sektor keusahawanan secepat mungkin agar rakyat dapat menjana pendapatan sendiri di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya di sini.

Menurutnya juga kerajaan perlu mempercepatkan pelan sekuriti makanan negara bagi mengelakkan kebergantungan kepada makanan asas yang diimport.

Selain itu katanya, DPIM berharap kerajaan mengawal harga barangan asas bagi mengelakkan kenaikan harga barangan secara mendadak.

“Benar harga dikawal oleh penawaran dan permintaan, namun ia di luar kawalan kita kerana pasaran antarabangsa yang terbuka,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/1/23

- Advertisement -