Rashford perlu kekal untuk United berjaya – Ten Hag

Prestasi cemerlang Rashford bantu Ten Hag julang United.
- Advertisement -

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, berkata Marcus Rashford adalah penting dalam rancangannya untuk menjadikan kelab itu terbaik di dunia dan menggesa penyerang itu kekal di Old Trafford bagi merealisasikan cita-cita itu.

United kali terakhir memenangi Liga Perdana pada 2013 dan tidak pernah memenangi piala sejak menjulang kejuaraan Liga Europa pada 2017. Ia adalah kemarau trofi terburuk United dalam tempoh 40 tahun, tetapi terdapat tanda-tanda kemajuan di bawah Ten Hag.

- Advertisement -

Penyerang England, Rashford, 25, menjadi watak penting dalam kebangkitan United, menjaringkan sembilan gol dalam sembilan perlawanan sejak kembali dari Piala Dunia, menjadikan jumlah jaringannya sebanyak 17 dalam semua pertandingan.

“Saya rasa dia faham Man United adalah kelabnya. Dalam persekitaran ini, dalam pasukan ini, dia bermain bola sepak terbaiknya.

“Dia boleh membawa masuk kualitinya dan pasukan ini boleh membantu dia berada di tempat yang betul dan menjaringkan gol. Dia tahu bahawa dia penting untuk kami.

“Jika kita ingin mendapatkan kejayaan yang diinginkan, kita perlukan dia,” kata Ten Hag.

United melanjutkan tempoh setahun kontrak Rashford yang kini akan tamat pada 2024, ketika timbul minat daripada juara Ligue 1, Paris St Germain.

“Saya harap semua pemain kami menarik minat kelab lain kerana itu bermakna kami melakukan kerja yang baik, pasukan menunjukkan prestasi yang lebih baik, jadi itulah yang kami sasarkan,” katanya.

“Saya akan katakan, ini adalah tempat terbaik kerana kami mahu membina pasukan terbaik, pertama di England, kemudian di Eropah dan dunia.”

United akan berkunjung ke Nottingham Forest dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga, hari ini. – REUTERS

- Advertisement -