Projek jambatan dipindah selepas Umno rebah ‘PRU59’

- Advertisement -

ISU politik semakin rancak ketika Malaysia sedang melangkah ke arah Madani. Lebih-lebih lagi kerajaan baharu tidak penat mengeledah apa sahaja berkaitan Perikatan Nasional (PN).

Sekarang berlegar isu sedekah pengundi. Biarpun diagenda sedemikian rupa, ia dipercayai tidak membekas di jiwa rakyat. Apa yang rakyat tunggu sekarang solusi turunkan harga barang.

Menteri tidak boleh sekadar mengertak penjual. Sedangkan mereka mendapat bahan mentah pada harga mahal. Tiba-tiba menteri minta turunkan harga makanan. Makcik Kiah yang berniaga pisang goreng pun tersenyum. Apa kelas menteri sekarang.

- Advertisement -

Sedangkan isu pokok perlanggaran normal demokrasi mahu disapu di bawah karpet. Federalisme dilanggar sesuka hati. Maka pihak yang didiskriminasi tentunya akan bangkit. Mereka akan menuntut hak. Maka gegerlah suasana.

Diskriminasi sekarang berlaku di negeri diterajui PN. Isu itu dikesan selepas bantuan banjir ke Kelantan diagih semula menggunakan kaedah lama. Agihan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Mengulangi semula apa yang pernah dilakukan Umno sebelum 2018.

Apabila agihan banjir sesuatu perkara mudah jadi berliku-liku, tentunya ia lambat sampai ke bawah. Contohnya daripada Kementerian Kewangan ke JPP, kemudian dari Ibu pejabat JPP ke JPP jajahan.

Sedangkan mekanisma sedia ada sudah lengkap. Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) mempunyai data berkaitan banjir. Begitu juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kalau wang bantuan banjir terus diagih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), tentunya urusan lebih lancar.

Tidak perlu tunggu sehingga berbulan-bulan baru mangsa banjir mendapat bantuan. Namun, kerajaan PH-BN tetap memilih semula stail lama biarpun ia ketinggalan zaman.

Umno dalam kerajaan

Ia berlaku kemungkinan besar kerana kerajaan campuran ada Umno. Sedangkan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir Putrajaya tanpa Umno selepas PRU 2018, bantuan pusat disalur terus ke SUK.

Begitu juga ketika era kerajaan PN dan Keluarga Malaysia. Sepanjang tempoh kira-kira tiga tahun, tiada isu politik berkaitan agihan dana dari pusat.

Namun, selepas Umno diberi ‘nyawa’ semula, kaedah lama dihidup semula. Ramai bimbang perdana menteri tidak perasan.

Umno tanpa sedar sedang melaksanakan agenda ‘divide and rule’ dalam kerajaan campuran. Perangai lama yang menjadi amalan era sebelum 2018 diulang semula.

PKR, DAP dan Amanah pastinya akan terkena tempias hasil tindakan ‘bijaksana’ Umno. Deraan politik seperti itu tidak mampu memancing jiwa rakyat. Sebaliknya tentangan bertambah hebat.

Contohnya pada era awal 1990-an diskriminasi bantuan baja subsidi cap dacing berleluasa di Kelantan. Begitu juga memaksa ibu bapa mendapat tandatangani JKKKP buku teks sekolah anak.

Apa itu JKKKP. Ia adalah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan. Siapa ahlinya. Semua ahli pemimpin cawangan Umno.

Hubungan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mesti berlandaskan prinsip Federalisme

Ada orang tanya mengapa perlu diwujudkan JKKKP, sedangkan di Kelantan sudah ada penghulu sejak zaman sebelum merdeka.

Inilah yang disebut sebagai diskriminasi politik. Biarpun diberi tekanan terhadap rakyat, Umno gagal misi menguasai Kelantan lebih 30 tahun.

Ini sepatutnya kabinet kerajaan campuran tahu. Kalau Anwar Ibrahim membiarkan agenda Umno segar semula, ramai bimbang kerajaan sekarang akan disebut orang kerajaan sepenggal.

Politik diskrimasi sebenarnya sudah tiada dalam teori politik moden. Lebih-lebih lagi di era Membangun Malaysia Madani.

Tanya Pak Mat di Permatang Pauh, madanikah kalau hak negeri di bawah PN dinafikan. Situasi itu sedang berlaku sekarang. Bukan sekadar peruntukan cuba dinafikan, sebaliknya kehadiran menteri tidak dimaklumkan kepada tuan rumah.

Seperti kata ahli parlimen Pendang Awang Hashim, datang ke rumah tanpa memberi salam. Situasi itu menjadi amalan sebelum 2018.

Kedatangan pemimpin pusat ke Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak lagi dimaklumkan. Jauh sekali hendak bertandang ke SUK.

Amalan itu berpuluh tahun berlaku sebelum ini, namun reda selepas 2018. Tiba-tiba kerajaan PH-BN mengulangi lagi teori yang dijuarai Umno.

Oleh itu ada baiknya pasukan komunikasi pejabat perdana menteri belek sejarah lama. Ia tidak sukar dicari. Ada kajian sarjana dan catatan di laman akhbar.

Sejarah lama berlaku selepas PAS menguasai Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1959. Sebelum PRU 1959 kerajaan Perikatan melulus projek membina jambatan merentangi Sungai Kelantan. Ia menghubungkan Kota Bharu-Pasir Pekan.

Segala peralatan sudah ada. Namun selepas Perikatan kalah pada PRU tersebut, projek itu dibeku. Segala peralatan membina jambatan kemudian dipindahkan ke Temerloh Pahang.

Banyak lagi contoh yang kita temui. Pengkaji Malaysia Madani perlu ambil tahu, sekiranya mahu usia kerajaan campuran tidak sekadar sepenggal. – HARAKAHDAILY 25/1/23

- Advertisement -