PAS, PH bincang PRN serentak minggu depan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, parti itu akan mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) berkait penetapan tarikh pilihan raya negeri (PRN), minggu depan.

- Advertisement -

Katanya, ia bagi membincangkan supaya PRN dapat diadakan serentak bersama Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbir parti itu.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, pertemuan itu akan melibatkan Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Belum tahu lagi (PRN serentak atau tidak) sehingga kita berkomunikasi dan berbincang dengan negeri-negeri lain. Kita sudah bincang secara tidak formal pada akhir tahun lepas, insyaAllah kita akan bincang lagi dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, proses pilihan raya di enam negeri tersebut diharap dapat diadakan serentak bagi memudahkan pengurusan pelbagai pihak.

“Kemungkinan untuk berlaku serentak ada, kemungkinan untuk tidak berlaku serentak juga ada, tetapi kita harap boleh diadakan serentak bagi memudahkan rakyat (pengundi), dan juga pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, PAS menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan parti itu memberi wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Pandangan saya sama dengan apa yang dijawab oleh Setiausaha Agung PAS, tidak ada pandangan yang berbeza.

“Selebihnya, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan,” tegasnya bagi mengulas dakwaan tersebut. – TRDI.my

- Advertisement -