PAS memungut hasil besar PRU15

- Advertisement -

PAS memungut hasil besar pada PRU15 baru-baru ini. Apa yang ditanam, itulah yang dituai.

Perjuangan PAS bukan dengan membeli apa yang telah dimasak, lalu memakannya. Atau membeli bahan mentah di kedai, lalu memasaknya di dapur. Bukan.

Bahkan PAS bertani dan menanam. Dari kebun yang kecil, kemudiannya menjadi ladang yang lebih besar. PAS berkeringat dan berjemur matahari bertahun-tahun. Atau katakan sahaja, berpuluh-puluh tahun lamanya.

Wang yang ada disimpan sedikit demi sedikit, kemudian dilaburkan pada tanah. Resmi berbudi pada tanah, kenalah mengalas perut dan kadang-kadang, mengikat perut.

Jangan kata PAS memberi wang pada rakyat. PASlah yang lebih banyak menerima wang daripada rakyat. Yang kaya dengan keluasan telapak tangan dan yang miskin dengan keluasan dada. Masing-masing melabur untuk masa depan. Janji pahala. Ada yang berleter dan mencemuh, rasuah pahala katanya.

Sampai masanya ia mula belajar berbuah. Ada isi buruk, dibuang sahaja. Isi yang baik, pakat-pakat merasa secubit seorang. Indah dan segarnya makan di bawah teduhan hijau pohonan yang mula merimbun.

Tiba-tiba awan dan tanah membuat pakatan. Siang berangin, malam berhujan. Langit mengarah, bumi bekerja. Pucuk daunan bertukar bunga memekar. Putik-putik meluruh banyak demi menghasilkan buah-buah yang besar, sihat dan berkelas eksport.

PAS akhirnya menang di ladangnya. Hari ini PAS masuk pasar untuk memasarkan, bukan sekadar sebagai pembeli. Bahkan PAS mencergaskan pasaran politik tanah air yang muram dengan ketidaktentuan.

Barangan palsu kini mudah dikesan dan dihindari dengan perbandingan dan hadirnya barangan asli yang jitu, bermutu dan ekonomik.

Hari ini, PAS hanya perlu menumpukan kepada dua perkara utama. Pertama, perlu terus membaja dan memugar ladangnya. Kedua, mula memahirkan diri dalam dunia pasaran yang terbuka dan sengit. Selebihnya adalah terus membuka ladang demi ladang.

Begitulah. Tahniah PAS. Tahniah PERIKATAN NASIONAL.

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -