Madani acuan barat menuju kegagalan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Konsep ‘Malaysia Madani’ yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini diramal menempah kegagalan sekiranya menjadikan barat sebagai rujukan pentadbiran.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kalimah madani perlu diterjemah dengan makna sahih dan amanah yang wajib diamal mengikut perintah Allah.

“Acuan madani selain daripada petunjuk Allah dan teladan Nabi pastinya menterjemah kegagalan seperti yang berlaku kepada tamadun sebelum ini bahkan sedang membakar tamadun sekarang.

“Di negara kita, penjajah sudah keluar namun dasar penjajah masih lagi diamalkan. Islam masih tidak diamalkan sepenuhnya, Islam tidak lagi mentadbir dan memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Negara Madani Acuan Allah’ dalam Program Meet & Greet Halaqah Darul Iman (HaDI) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Neger, Dato’ Yahaya Ali, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajan Negeri, Senator Dato’ Husain Awang serta seluruh ahli kelab Wisma Darul Iman.

Abdul Hadi yang juga mantan Menteri Besar Terengganu turut mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan pelbagai fahaman barat yang kian meresap.

“Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan idea civil society yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman.

“Lagi malang bagi Ilmuan Islam yang turut terperangkap dan terpengaruh dengan ideologi tersebut,” tambahnya.

HaDI menjadi program bulanan bagi penjawat awam di Terengganu bagi meningkatkan kefahaman tentang Islam sejak dilancarkan awal tahun lepas. – TRDI.my

- Advertisement -