Jepun dilanda salji tebal, kesejukan melampau, seorang maut

Keadaan salji tebal yang melanda Jepun
- Advertisement -

TOKYO: Salji tebal menyelubungi sebahagian besar Jepun yang menyebabkan kesesakan lalu lintas, memaksa ratusan penerbangan dibatalkan dan mengganggu perjalanan kereta api, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut.

Cuaca sejuk luar biasa dan sistem tekanan rendah melampau menyebabkan salji dan angin kencang bertiup merentasi Jepun mulai semalam.

- Advertisement -

Salji tebal sering berlaku di kawasan negara itu yang menghadap Laut Jepun, dengan bandar Maniwa di barat Jepun mencecah rekod 93 sentimeter dalam tempoh 24 jam hingga pagi hari ini.

Seorang maut akibat ribut, manakala dua lagi kematian berkaitan ribut sedang disiasat setakat pagi ini, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno, pada sidang akhbar.

Media melaporkan, syarikat penerbangan domestik, termasuk ANA dan Japan Airlines membatalkan lebih 300 penerbangan, manakala perkhidmatan kereta api peluru digantung atau ditangguhkan di utara Jepun.

Di lebuh raya tengah Jepun, kereta dan trak tidak dapat bergerak dalam salji sejauh kira-kira 10 kilometer, kata stesen televisyen NHK.

Seorang penduduk Jepun membersihkan salji tebal di kediamannya.

Kira-kira 3,000 orang terkandas di dua stesen kereta api di Kyoto selepas salji dan angin kencang memaksa perkhidmatan digantung semalam dengan beberapa penumpang terpaksa tidur di lantai stesen utama bandar itu.

Kejadian yang sama berlaku membabitkan sekurang-kurangnya 15 kereta api antara stesen, dalam beberapa kes berlaku mulai semalam hingga awal pagi hari ini. Beberapa penumpang terpaksa melalui salji tebal untuk sampai ke stesen yang dijadikan tempat perlindungan.

Angin kencang yang dikaitkan dengan ribut juga mungkin menyebabkan sebuah kapal kargo yang didaftarkan di Hong Kong karam antara barat Jepun dan Pulau Jeju di Korea Selatan hari ini. Seramai 13 daripada 22 anak kapal diselamatkan dengan kerja mencari masih diteruskan.

Cuaca buruk ini dijangka berterusan sehingga esok. – REUTERS

- Advertisement -