Bakar al-Quran: Jangan cabar kesabaran umat Islam

DUNIA sekali lagi dikejutkan dengan sikap biadab ahli politik berhaluan kanan Sweden, Rasmus Paludan yang secara sengaja mencetus amarah umat Islam dengan membakar kitab suci Al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Sweden pada Ahad.

Insiden itu satu lagi provokasi jahat yang memaparkan sikap sebenar pihak Barat yang anti-Islam malah dengan sengaja mencetus amarah agar ada tindak balas oleh umat Islam, dan kemudiannya apabila ada tindakan balas maka yang dilabel pengganas adalah Islam. Ini satu lagi gambaran Islamofobia yang Barat cipta demi memburukkan Islam.

Bagi PAS, ia satu tindakan yang keterlaluan dan biadab malah menunjukkan wajah sebenar pihak berkenaan yang anti Islam.

Kami menggesa pihak Persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Wisma Putra segera menghantar nota bantahan dan gesaan agar tindakan sewajarnya dikenakan ke atas perlakuan ekstrem ahli politik Sweden itu.

Kami juga melahirkan kebimbangan andai ada tindakan balas yang tidak diingini angkara insiden bakar al-Quran ini oleh pihak yang marah dengan kebiadaban tersebut.

Selain itu kami juga menyeru agar seluruh negara Islam mengecam tindakan tersebut yang dilihat sengaja mencemar kesucian Islam dan menyemarakkan api permusuhan.

Kami menyeru seluruh umat Islam di negara ini turut hadir ke Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam oleh ahli politik Sweden di Masjid KLCC pada 27 Januari ini (Solat Jumaat diikuti perarakan ke Kedutaan Sweden). 

“Malaysia Sejahtera”

YB Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 25/1/2023

Advertisement