Piala Dunia: Speedy Tigers kembali positif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki negara sudah melupakan kekalahan yang memeritkan demi memburu kemenangan ke atas Afrika Selatan, pada aksi tempat kesembilan hingga ke-16 kempen Piala Dunia 2023 di Stadium Birsa Munda, Rourkela di India, Khamis ini.

- Advertisement -

Pengurus pasukan Datuk Mirnawan Nawawi berkata suasana dalam kem negara terutama dalam kalangan pemain kembali positif, walaupun mereka dilihat sangat kecewa apabila gagal mara ke peringkat suku akhir, selepas tewas kepada Sepanyol menerusi penentuan pukulan penalti Ahad lepas.

Beliau berkata kekalahan seperti dialami skuad Speedy Tigers bimbingan A. Arul Selvaraj pada aksi “Crossover” di Stadium Kalinga, Bhubaneswar itu bukan perkara asing dalam kejohanan besar.

“Tapi apa yang penting ialah pemain-pemain mampu untuk bangkit kembali dan fokus semula kepada tugas serta tanggungjawab seterusnya.

“Ketika ini fokus harus diberikan kepada perlawanan menentang Afrika Selatan dan saya percaya pemain-pemain mampu melakukan yang terbaik,” katanya menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini.

Beliau berkata barisan pemain akan kembali menjalani latihan di padang hari ini, selepas berehat dan menjalani proses pemulihan setibanya di Rourkela dari Bhubaneswar, yang memakan masa satu jam perjalanan dengan menaiki pesawat, semalam.

Menjelang pertembungan Khamis ini, Malaysia memiliki kelebihan di atas kertas berdasarkan kedudukan ranking dunia di tempat ke-10, sementara Afrika Selatan ke-15.

Pada kempen Piala Sultan Azlan Shah 2022 November tahun lepas, Malaysia yang berjaya menamatkan penantian 39 tahun untuk mencipta sejarah kali pertama menjuarai kejohanan itu, menewaskan Afrika Selatan 7-2 pada aksi kumpulan.

Penyertaan di India merupakan penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971, dengan pencapaian terbaik meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Edisi lepas menyaksikan Malaysia hanya mampu menamatkan cabaran di tempat ke-15. – BERNAMA

- Advertisement -