Finland beri bayangan sertai NATO tanpa Sweden

Pekka Haavisto ragu-ragu permohonan bersama Finland dan Sweden sertai NATO berjaya
- Advertisement -

HELSINKI: Menteri Luar Finland mencadangkan negara itu boleh mempertimbangkan untuk menyertai NATO tanpa negara jiran, Sweden jika Turki menghalang usaha bersama kedua-dua negara untuk memasuki pakatan ketenteraan itu.

Komen Pekka Haavisto adalah kali pertama seorang pemimpin utama negara Nordik itu kelihatan menimbulkan keraguan untuk menjadi ahli NATO bersama Sweden ketika pakatan itu berusaha untuk membentuk barisan bersatu bagi menghadapi Rusia di Ukraine.

Sweden dan Finland tergesa-gesa memohon keahlian NATO berikutan pencerobohan Moscow, meninggalkan dasar sebelum ini yang berkecuali.

- Advertisement -

Namun, penyertaan kedua-dua negara memerlukan persetujuan semua anggota NATO sedia ada, termasuk Turkiye, yang setakat ini menghalang dengan menyatakan bahawa Sweden perlu membanteras militan Kurdish di negara itu dan penyokong mereka.

Isnin lalu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, memberi amaran kepada Sweden supaya tidak mengharapkan sokongan untuk menyertai NATO berikutan protes hujung minggu di Stockholm oleh aktivis anti-Islam dan kumpulan pro-Kurdish.

Ditanya sehari kemudian sama ada masih masuk akal untuk Finland meneruskan usaha bersama Sweden, Haavisto memberitahu stesen televisyen YLE bahawa negaranya perlu menilai keadaan jika permohonan Sweden tersekat untuk suatu tempoh yang lama.

Haavisto kemudian memberitahu wartawan di Parlimen bahawa komennya adalah “tidak tepat” dan cita-cita Finland untuk memasuki NATO bersama-sama dengan Sweden kekal tidak berubah.

Beliau memberitahu telah bercakap dengan Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, yang menegaskan kepada Haavisto bahawa pakatan ketenteraan itu ingin melihat kedua-dua negara bergabung secara serentak.

“Namun, sudah tentu terdapat kebimbangan dibangkitkan dalam NATO mengenai insiden di Sweden akan menjejaskan usaha itu,” kata Haavisto.

Demonstrasi pro-Kurdish dan anti-Turkiye di Stockholm merumitkan proses tersebut. Sabtu lalu, seorang aktivis sayap kanan dari Denmark mengadakan protes di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm dan membakar al-Quran. Satu demonstrasi berasingan pro-Kurdish juga diadaklan pada hari yang sama di ibu negara Sweden.

Turkiye bertindak balas dengan marah terhadap protes itu, membatalkan lawatan yang dirancang ke Ankara oleh Menteri Pertahanan Sweden. Bantahan juga diadakan di luar kedutaan Sweden di Ankara dan Istanbul. Erdogan membidas pihak berkuasa Sweden kerana membenarkan demonstrasi membakar al-Quran. – AP

- Advertisement -